Majikan perlu proaktif sedia fasiliti ibu menyusu

Majikan perlu proaktif sedia fasiliti ibu menyusu

DR. Kasemani Embong (dua kiri) melawat pameran sempena majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Terengganu di Setiu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Majikan di negeri ini disaran proaktif menyediakan fasiliti bilik menyusu ibu yang lengkap untuk golongan pekerja wanita di pejabat.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, suasana kondusif di tempat kerja amat penting bagi membantu ibu muda bekerjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.

“Sekiranya bilik khas penyusuan agak berat (dari segi kos) bagi majikan, saya syorkan sekurang-kurangnya menyediakan ruang khas dalam peti sejuk (di pantri) bagi penyimpanan susu ibu (pekerja wanita).

“Stok susu ibu yang diperah boleh bertahan sehingga enam bulan untuk keperluan bayi masing-masing,” katanya selepas merasmikan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Terengganu di sini, hari ini.

Kasemani berkata, sebaiknya majikan menggunakan budi bicara memberi tempoh rehat secukupnya bagi membolehkan  kakitangan wanita menyediakan stok susu untuk bayi masing-masing.

Tambah beliau, setakat ini, enam hospital awam, sebuah hospital swasta dan 46 klinik kesihatan di Terengganu merupakan premis rakan bayi dengan menyediakan bilik khas untuk penyusuan ibu.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak premis pejabat baik kerajaan dan swasta menyahut seruan kerajaan dalam penyusuan bayi.

“Pemberian susu ibu dapat melindungi kesihatan bayi dan mengurangkan risiko mendapat penyakit untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Kasemani memberitahu kadar penyusuan dalam kalangan ibu di Terengganu amat tinggi mencecah 85.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jelas beliau, kadar itu lebih baik daripada petunjuk prestasi (KPI) ditetapkan di peringkat kebangsaan iaitu 70 peratus.

“Boleh dikatakan kadar penyusuan ibu yang tinggi di negeri ini mempengaruhi keputusan akademik cemerlang dalam kalangan pelajar negeri ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN