MAHA 2022:  11,111 produk jualan mnanti pengunjung di Castle of Fruits

MAHA 2022:  11,111 produk jualan nanti pengunjung di Castle of Fruits

MAHA 2022 diadakan dari 4 sehingga 14 Ogos ini di MAEPS Serdang, Selangor.  - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Sejumlah 11,111 produk jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan florikultur menanti orang ramai yang berkunjung ke Castle of Fruits kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, Castle of Fruits yang membawa tema Istana Kenangan Perak itu adalah salah satu kluster MAHA 2022 yang menawarkan pelbagai produk jualan agromakanan di Laman Tiba 1, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Kata beliau, pada pameran kali ini, FAMA memilih buah dari keluarga ‘Artocarpus’ seperti nangka, cempedak dan sukun sebagai buah utama yang diketengahkan kepada pengunjung.

“Kita ketengahkan nangka ini kerana ia adalah super food di negara ini selain kita bawa jualan produk berasaskan nangka seperti cip, nuget, jus dan burger.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati tart nangka yang menggunakan resipi turun temurun dari tahun 1916 selain showcase pelbagai buah dari keluarga ‘Artocarpus’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

MOHAMAD MUSTAHAPA AWANG

Jelasnya, nangka dan cempedak adalah buah-buahan yang menerima permintaan tinggi di pasaran berikutan jumlah pengeluarannya yang meningkat pada tahun 2020 iaitu sebanyak 60,093 tan metrik berbanding 59,174 tan metrik pada 2019.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi edisi MAHA kali ini, sejumlah 300 tan metrik buah-buahan tempatan dan luar negara dibawa oleh FAMA dengan dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM4 juta.

“Di Castle of Fruits, kita menerima penyertaan dari 82 usahawan yang terdiri daripada peserta ladang kontrak MAFI, usahawan sayur dan buah tempatan, koperasi pertanian, usahawan florikultur dan input pertanian serta usahawan produk buah tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, selain Castle of Fruits, FAMA turut menampilkan Empayar Makanan, Agrotrade dan Food Truck Fiesta yang menjanjikan pelbagai kepuasan kepada para pengunjung.

“Sebanyak 63 lot jualan makanan disediakan di Empayar Makanan kali ini dengan 679 pilihan menu sajian seperti makanan popular negeri, makanan viral dan trak makanan. 

“Food Truck Fiesta pula merupakan transformasi konsep penjualan makanan secara ‘mobile’ yang menawarkan 101 menu makanan dan minuman kepada pengunjung,” katanya.

Katanya lagi, menerusi kluster Agrotrade, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agromakanan tempatan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat, rundingan, perkhidmatan dan bantuan dari kerajaan untuk menceburi bidang eksport.

Jelas beliau, Agrotrade yang bertemakan ‘Your Getaway to International Market’ itu meliputi empat segmen utama iaitu perkhidmatan perdagangan antarabangsa, pusat perniagaan, export ready boulevard’ dan export mini hypermarket.

“FAMA berharap menerusi pameran tersebut kita dapat memberi manfaat kepada usahawan di seluruh negara termasuk seluruh rakyat untuk lebih memahami produk-produk yang ada di pasaran.

“Empat kluster di bawah FAMA kali ini juga bertindak sebagai pusat sehenti buat para usahawan mendapatkan maklumat lebih lanjut bagi memasarkan produk-produk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya