PETALING JAYA: Tindakan lelaki yang menuntut bayaran kerja mengundang padah apabila ditetak la menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Mulia 1/1, Taman Mulia Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang berusia 41 tahun bersama rakannya berada di sebuah kedai di lokasi kejadian pada pukul 7.10 petang.
Katanya, mangsa kemudian melihat suspek memegang parang panjang lalu mengejarnya sebelum ditetak menggunakan senjata itu.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri serta kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
“Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa menuntut hutang bayaran kerja daripada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati dengan tuntutan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, menurutnya, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh di Taman Dagang, di sini, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Jelasnya, parang yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN