BATU PAHAT: Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Saga dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 14, Jalan Muar-Yong Peng berhampiran Kampung Sri Jasa di Yong Peng, dekat sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.08 petang.
Sebaik menerima maklumat, sepasukan 10 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Hafiz Othman dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota mendapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas dan melanggar sebatang pokok dipandu oleh Mohd. Nasir Ahmad, 36.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Yong Peng ke Sri Medan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan kes disiasat mengikut Seksen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN