PETALING JAYA: Sebuah syarikat pesisir luar pantai didakwa menjadi satu entiti yang ditubuhkan bertujuan memindahkan wang daripada projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) ke akaun-akaun di luar negara.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, syarikat berkenaan pernah dinamakan di dalam siri Kertas Panama yang mendedahkan bagaimana syarikat pesisir luar pantai digunakan menyembunyikan wang daripada aktiviti melanggar undang-undang di seluruh dunia.
Beliau mendakwa, laporan siasatan dalaman ke atas projek LCS membuat kesimpulan apabila pasukan penyiasat menemukan sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta setelah menyemak invois-invois daripada pembekal-pembekal tertentu apabila invois dihantar kepada subkon projek LCS untuk perkhidmatan teknikal sebenarnya tidak wujud.
“Apabila pembekal-pembekal ini dijejaki, syarikat sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu. Malah, semakan menunjukkan bayaran dibuat ke akaun-akaun lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwa Rafizi, modus operandi yang digunakan adalah mirip kaedah digunakan dalam isu wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila syarikat-syarikat palsu ditubuhkan di seluruh dunia yang namanya menyamai sebuah syarikat yang benar-benar wujud.
Katanya, invois dihantar daripada satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan.
“Siasatan dalaman menamakan syarikat tersebut sebagai antara yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sebegini. Syarikat itu dilantik oleh subkon projek sebagai pembekal alat-alat gantian untuk projek ini atas cadangan DCNS, kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind,” katanya.
Menurut Rafizi, siasatan dalaman projek LCS turut menamakan syarikat itu sebagai entiti yang memindahkan wang daripada projek LCS dan membuat penemuan berikut, iaitu syarikat terlibat dicadangkan menjadi pembekal di atas alasan sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis.
“Pengurusan projek LCS dimaklumkan bahawa syarikat itu mempunyai lesen eksport sedunia yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan. Pengurusan projek LCS melantik syarikat itu atas pertimbangan mempunyai lesen eksport sedunia.
“Maklumat itu sebenarnya palsu kerana syarikat itu tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.
“Walaupun projek LCS menerima invois yang nampak seperti datang dari syarikat itu, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat akaun di Singapura yang dimiliki sebuah lagi syarikat lain yang menggunakan namanya (hampir sama tetapi berlainan),” dakwanya.
Rafizi berkata, kesimpulan siasatan dalaman secara terang-terang menamakan penglibatan DCNS dalam skim menyelewengkan dana manakala para penyiasat turut menyimpulkan bahawa mereka dan sebuah lagi syarikat dari Perancis adalah sebahagian skim memindahkan wang projek itu dan melanggar Akta Pengubahan Wang Haram.
“Perkara ini disahkan apabila penyiasat membandingkan jumlah dibayar oleh projek LCS untuk membeli alat-alat gantian kepada syarikat tersebut berbanding jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan bagi tempoh 2011 hingga 2015.
Sebab itu Rafizi mendakwa, skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa dari seorang pesara Panglima Tentera Laut yang didakwa baru-baru ini. – UTUSAN