KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung syor pertuduhan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait kegagalan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Jika Jabatan Peguam Negara membenarkan syor pertuduhan oleh SPRM, ia menyaksikan pihak-pihak yang terlibat dalam skandal projek LCS akan didakwa dan dibicarakan mahkamah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, beliau bagaimanapun belum menetapkan sebarang keputusan berhubung syor pertuduhan itu, namun, pihaknya akan tampil dengan keputusan tidak lama lagi.
“Pejabat Peguam Negara akan buat keputusan secepat yang mungkin. Minta bersabar (please bear with us),” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Pun begitu, Idrus tidak mengulas lanjut sama ada ‘segera’ yang disebutkannya boleh berlaku pada hari ini, minggu ini atau bila-bila masa.
Utusan Malaysia melaporkan, pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai individu dicadangkan SPRM untuk dituduh berhubung kepincangan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Satu sumber mendedahkan, individu berkenaan dikatakan sebagai ‘orang penting’ terlibat dalam proses perolehan projek pembinaan enam kapal tempur LCS yang membabitkan nilai RM9 bilion.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa SPRM dan AGC segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek pembinaan kapal tempur LCS. – UTUSAN










