Lapan peniaga colek diberi notis oleh KPDNHEP

Lapan peniaga colek diberi notis oleh KPDNHEP

ANGGOTA KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan ke atas salah sebuah kedai yang menjual colek di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan semalam. - FOTO/IHSAN KPDNHEP KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan lapan notis ke atas peniaga yang menjual colek (makanan bergoreng dicicah sos) pada harga yang tinggi di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB) semalam.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kesemua lapan peniaga itu diberikan notis mengikut Seksyen 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, selain itu dua lagi peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga terhadap barangan yang dijual diberikan kompaun serta-merta.

“Pemantauan dan pemeriksaan ini dilakukan secara mengejut oleh pihak kami dengan membuat penyamaran.

“Melalui operasi ini, KPDNHEP Kelantan telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas semua 20 premis jualan di lokasi tersebut di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999,” katanya dalam satu kenyataan.

Aswadi memberitahu, KPDNHEP Kelantan memberikan amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa meletakkan tanda harga terhadap barangan yang dijual, bagi mengelakkan manipulasi harga oleh peniaga.

Katanya, pengguna turut diingatkan supaya membuat pilihan tepat sebelum berbelanja bagi mewujudkan kerharmonian dalam urusniaga perdagangan sihat di antara peniaga dan pembeli.

Utusan Online pada 11 Ogos lalu melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang Dr. Izani Husin meminta KPDNHEP Kelantan untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan colek dijual pada harga mahal di kawasan PCB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN