Lantik 100 staf kontrak tangani 72,348 kes tertunggak bahagi pusaka - Utusan Malaysia

Lantik 100 staf kontrak tangani 72,348 kes tertunggak bahagi pusaka

ALI Biju (dua kiri) mendengar penerangan semasa melawat ruang pameran selepas Persidangan Pentadbiran Tanah sempena HTN 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 100 kakitangan tambahan bakal dilantik secara kontrak bagi menangani tunggakan 72,348 kes pembahagian pusaka di seluruh negara.

 Perkara  itu disahkan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dan petugas berkenaan akan berkhidmat selama tiga tahun sebagai penyelesaian jangka pendek.

 “Kita berharap kesemua kes tertunggak itu dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini juga kerana dibimbangi akan bertimbun lebih banyak jika dilewatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pentadbiran Tanah sempena dengan sambutan Hari Tanah Negara 2022 dengan bertema Jajaran Pendigitalan Tanah Merentasi Sempadan.

 Program di sini hari ini itu mula diperkenalkan pada 2017 lalu dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTGP), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain.

 Ali berkata, jumlah besar tunggakan tersebut disebabkan gangguan operasi akibat beberapa sekatan pergerakan ketika pandemik Covid-19 meletus lebih dua tahun lalu.

 Tambahan 100 lagi petugas baharu itu dijangka membabitkan 50 pegawai gred N41 dan baki staf N19 yang bakal ditempatkan di negeri-negeri dengan banyak kes tertunggak.

 Utusan Malaysia difahamkan ketika ini Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) JKPTGP hanya memiliki 240 petugas iaitu 69 pegawai gred N41 dan selebihnya kakitangan sokongan N19.

60,000 kes

 Pada masa ini, BPP JKPTGP menguruskan purata 60,000 kes setiap tahun dan angka itu dijangka melonjak 100 peratus kepada 120,000 kes apabila peraturan baharu dikuatkuasakan.

 Ia susulan pindaan Akta Harta Pusaka (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dilulus Dewan Rakyat pada 26 November 2021 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Januari lalu.

 Namun, Peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 masih diteliti Jabatan Peguam Negara setelah dihantar Unit Undang-undang Kementerian itu pada 24 Jun lepas.

 “Setelah peraturan dipinda dimuktamadkan, secara teknikal ia boleh dikuatkuasakan dengan bidang kuasa nilaian pusaka dinaikkan daripada RM2 juta kepada RM5 juta,” jelas Ali lagi.

 Justeru, beliau menjangkakan kes pembahagian pusaka akan melonjak dan bagi memudahkan urusan, sistem e-Tanah bakal diperluaskan meliputi seluruh negara menjelang 2024 ekoran kejayaan pelaksanaan sistem pentadbiran tanah secara elektronik bersepadu dan komprehensif sejak diperkenalkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2017 lalu.

 Perak serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan sudah melaksanakan sistem itu manakala baki negeri-negeri lain akan menyusul secara berperingkat pada tahun depan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.