Krisis tenaga dunia burukkan lagi krisis makanan?

Krisis tenaga dunia burukkan lagi krisis makanan?

KPDN akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri melibatkan 30 barangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN harga makanan secara mendadak sejak dua tahun lalu akan terus meruncing berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, justeru mele­takkan kelangsungan kehidupan berjuta-juta orang dalam risiko.

Lebih banyak negara pengeluar utama makanan dunia terpaksa menghentikan eksport stok makanan ke pasaran dunia demi menjaga permintaaan dalaman dan menyebabkan gangguan logistik pembekalan makanan.

India, misalnya, mengenakan larangan pengeksportan gandum, manakala negara jiran kita, Indonesia menyekat pengeluaran minyak sawit demi menstabilkan harga pasaran tempatannya.

Ketegangan semasa dalam rantaian bekalan makanan ini secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan krisis tenaga global yang tidak boleh diabaikan.

Peperangan ini memacu harga tenaga berasaskan fosil kerana Russia adalah pengeksport utama dunia bagi minyak, dan gas aslinya merupakan bekalan utama kepada hampir 40 peratus negara-negara Eropah.

Ini memberi kesan limpahan ke atas rantaian bekalan makanan melalui kenaikan kos tenaga bagi pengoperasian pertanian dan meningkatkan harga baja sintetik yang bergantung kepada suapan sumber fosil.

Kestabilan rantaian bekalan dan keharmonian pasaran secara global adalah saling berkait terutama bagi kadar pengeluaran makanan dan bahan suapan asas pertanian seperti baja, agrokimia, bahan api dan buruh. Oleh itu gangguan bekalan yang kelihatan kecil di satu sektor suapan asas pertanian boleh menyebabkan kesan domino dan kecelaruan pada sektor-sektor lain.

Industri pertanian memerlukan tenaga sebagai salah satu bahan suapan penting bagi pengeluaran hasil pertanian. Penggunaan tenaga secara langsung dalam industri pertanian dan pengeluaran makanan termasuk elektrik untuk sistem pengairan automatik, penggunaan bahan api untuk jentera ladang dan tenaga yang diperlukan untuk pelbagai peringkat pemprosesan makanan, pembungkusan, pengangkutan dan pengedaran.

PENGGUNAAN RACUN PEROSAK

Penggunaan racun perosak dan baja mineral juga memerlukan tenaga yang banyak secara tidak langsung. Secara kasar, penggunaan tenaga secara langsung dan tidak langsung ini mencecah 40 hingga 50 peratus jumlah kos dalam penghasilan tanaman bergantung kepada keadaan cuaca, lokasi dan jenis pertanian. Oleh itu, semakin tinggi harga tenaga dan baja, semakin tinggilah kos penghasilan tanaman dan seterusnya harga jualan makanan.

Ammonia adalah bahan asas bagi pembuatan baja mineral berasaskan nitrogen.

Ammonia ditukarkan kepada urea sebagai produk baja nitrogen paling biasa digunakan di peringkat global. Di seluruh dunia, ammonia dihasilkan hampir sepenuhnya menggunakan gas asli melalui proses Haber-Bosch dengan penggunaan sebanyak 170 bilion meter padu atau bersamaan dengan 4 peratus daripada kadar pengeluaran tahunan gas asli global. Lima pengeluar ammonia utama dunia iaitu China, Kesatuan Eropah,

Amerika Syarikat (AS), India dan Russia, menyumbang kepada dua pertiga kadar pengeluaran ammonia dunia. Pada masa ini, Russia mengeluarkan sebanyak satu perlima keluaran ammonia dunia.

Harga baja telah meningkat hampir tiga kali ganda sejak 2020 dan kini berada pada paras harga tertinggi dalam sejarah pasaran baja urea, serta diramal akan terus meningkat seiring dengan keadaan geopolitik semasa. Peningkatan harga ini disebabkan pemulihan permintaan terhadap baja, gangguan bekalan dan logistik akibat pandemik Covid-19, sekatan perdagangan dan embargo akibat masalah geopolitik serta kos bahan suapan petroleum yang tinggi.

Kos penghasilan baja berkait rapat dengan harga sumber tenaga terutamanya bagi baja berasaskan ammonia. 70 hingga 80 peratus kos operasi penghasilan ammonia dan urea adalah daripada kos gas asli untuk menghasilkan bekalan hidrogen yang diperlukan untuk membina molekul ammonia. Sejak kebelakangan ini, beberapa loji gas asli di AS dan Eropah telah ditutup sementara berikutan kos gas asli yang tidak stabil dan melambung tinggi.

Beberapa negara pengeluar utama makanan dunia sememangnya bergantung penuh kepada hasil import urea untuk digunakan dalam pertanian. Contohnya, India mengimport hampir 30 peratus urea yang digunakannya, manakala Brazil mengimport hampir 100 peratus. Banyak negara Afrika juga mengimport sebahagian besar urea untuk kegunaan pasaran tempatan.

KENAIKAN HARGA

Dalam situasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga, negara-negara inilah yang akan merasakan kesan segera dan paling teruk. Akibatnya, para petani terpaksa membendung pembelian dan menggunakan baja yang sedikit, yang boleh memberikan kesan negatif kepada hasil tanaman untuk penuaian seterusnya. Kesannya, krisis makanan semasa akan menjadi lebih berpanjangan dan menghalang sebarang usaha untuk bertindak balas terhadap harga makanan yang tinggi dengan meningkatkan pengeluaran domestik.

Pada Jun 2022, Kumpulan Tindak Balas Krisis Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa herotan pasaran makanan dan baja sekarang adalah paling memberi kesan terhadap tanaman gandum dan minyak sayuran, dengan negara

Afrika menanggung kesan paling teruk pada musim panas ini. Jika masalah harga baja ini berlarutan hingga ke musim penanaman akan datang, tanaman utama yang bakal terjejas seterusnya adalah beras, yang merupakan makanan ruji bagi berbilion orang di Asia dan Amerika.

Negara kita juga tidak terlepas daripada kesan kupu-kupu kenaikan harga tenaga dan baja dunia. Malaysia pada masa ini secara keseluruhan masih lagi bergantung kepada pengimportan sumber makanan. Pada masa yang sama, Malaysia juga mengimport baja bernilai lebih RM7 jutat, dan dipercayai kadar ini akan terus meningkat pada masa hadapan. Keadaan ini menyebabkan keresahan dan ketidak stabilan harga makanan Tempatan.

Kerajaan harus mengambil tindakan pantas dan tuntas dalam menyelesaikan kemelut ini. Satu penyelesaian jangka pendek boleh dilakukan termasuk meneruskan insentif bekalan baja kepada petani untuk memastikan kelangsungan bekalan baja dalam pasaran tempatan. Pada masa yang sama, program kesedaran dan pendidikan perlu diteruskan untuk mengoptimumkan penggunaan baja tanpa mengurangkan hasil tanaman atau meningkatkan hasil tanaman dengan penambahbaikan amalan-amalan baik dalam Pertanian.

Untuk pelan jangka yang lebih panjang, Malaysia boleh meningkatkan aplikasi pertanian teliti (precision agriculture) seperti penggunaan penderia, dron, Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan teknologi pengairan untuk meningkatkan keuntungan daripada pengeluaran hasil pertanian.

Sebagai satu daripada pengeluar gas asli utama dunia, Malaysia juga perlu meningkatkan penghasilan baja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada baja import.

Seterusnya, kerajaan perlu menggandakan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api fosil dalam rantaian bekalan makanan dengan sumber tenaga yang selamat dan mampan. Sumber bekalan hidrogen untuk penghasilan baja urea perlulah dipelbagaikan dengan meningkatkan penghasilan gas hidrogen hijau tempatan melalui teknologi elektrolisis yang berasaskan sumber tenaga keterbaharuan ataupun penghasilan gas hidrogen melalui teknologi fermentasi gelap menggunakan sumber biojisim tempatan. Penyahkarbonan sumber hidrogen akan mengurangkan kesan ketidak stabilan harga pasaran sumber fosil dan juga membantu  negara untuk mencapai matlamat sifar pembebasan karbon pada 2050.

Prof Madya Ts. Dr. Afida Ayob pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM dan Dr. Peer Mohamed pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN