SEREMBAN: Sebanyak 60,000 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM150,000 disita untuk tujuan siasatan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan hasil serbuan ke atas sebuah syarikat pembungkus minyak masak polibeg bersubsidi di sini malam semalam.
Ketua Pengawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Abd. Muis Samsudin berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu itu menerusi Op ATM (Ayam, Telur, Minyak Masak) dan Op Antisorok yang dijalankan ke atas premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas di sini.
“Ketika serbuan dijalankan, pasukan operasi mendapati terdapat sebuah lori tangki yang mengandungi kira-kira 30,000kg minyak masak sedang menunggu untuk dipindahkan daripada tangki lori berkenaan ke dalam tangki simpanan di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat stok simpanan minyak masak sebanyak 30,000 kg di dalam tangki di premis tersebut. Bagaimanapun, apabila semakan terhadap buku penyata stok bekalan minyak masak dilakukan, jumlah baki dalam simpanan yang dinyatakan hanya sebanyak 5,350kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd. Muis berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan, syarikat terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal menyelenggara buku penyata stok barang kawalan bersubsidi serta memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.
“Siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan di dalam rantaian pengedaran minyak masak polibeg 1kg daripada syarikat ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, turut disita sebuah buah lori tangki yang berada di tempat kejadian dan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM400,000. – UTUSAN










