SERDANG: Tidak adil bagi mana-mana parti politik mempersoal kebebasan badan kehakiman dan membuat ugutan terhadap para hakim apabila pemimpin mereka dijatuhkan hukuman.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memerhati perkembangan positif mutakhir ini berhubung kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Katanya, beberapa dekad lalu, kebebasan badan kehakiman di Malaysia adalah suatu topik yang hangat dibicarakan di dalam negara dan di luar negara.
“Dalam tahun-tahun 80-an, pernah berlaku krisis yang serius antara badan eksekutif dan badan kehakiman di negara kita. Kebebasan badan kehakiman dipersoal oleh sebab wujud dakwaan campur tangan oleh badan eksekutif dalam urusan mahkamah.
“Namun, selepas itu telah berlaku perubahan-perubahan yang positif berhubung kebebasan badan kehakiman di negara kita. Hakim-hakim dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan tugas serta fungsi mereka menegakkan keadilan.
“Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan integriti sebagai landasan perjuangan, adalah menjadi prinsip PN untuk menjunjung kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucap tama Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.
Sementara itu, beliau berpandangan, Akta Pendanaan Politik wajar digubal dalam usaha melaksanakan transformasi politik bagi mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti.
Menurut Muhyiddin, justeru itu sebuah jawatankuasa di peringkat PN boleh ditubuhkan untuk mengkaji cadangan itu dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
“Saya sedar bahawa terdapat garis pemisah yang amat kabur antara pendanaan politik dan rasuah.
“Justeru, dalam usaha untuk melaksanakan transformasi politik bagi mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti, saya berpandangan sebuah Akta Pendanaan Politik wajar digubal,” katanya. – UTUSAN