Kerajaan teliti pelbagai aspek di Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli

Kerajaan teliti pelbagai aspek berkait jalan di Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli

FADILLAH Yusof (depan) meninjau pembinaan jejambat Kota Bharu-Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan hari ini. - FOTO/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kerajaan akan menjalankan penelitian dari pelbagai aspek berkaitan keadaan dan permukaan jalan di Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli di sini, yang didakwa kerap berlaku kemalangan maut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya melihat rungutan yang sering dibangkitkan oleh pengguna jaluan berkenaan menerusi laman sosial Facebook.

“Kementerian Kerja Raya akan turun padang untuk memantau dan melihat sama ada dakwaan yang dibuat itu berasas.

“Hasilnya, kita akan ambil dan seterusnya membuat penambahbaikan terhadap laluan tersebut untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada para pengguna,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Ftroadpedia Zon Timur 3.0 di kawasan tapak pembinaan jejambat Kota Bharu-Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Utusan Malaysia 23 Julai melaporkan, lima orang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan berhampiran Hentian Titiwangsa di Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli , Gerik, Perak.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memberitahu, sebanyak 54 projek infrastruktur dan bangunan bernilai RM6.4 billion dilaksanakan oleh kerajaan di negeri ini bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, peruntukan itu melibatkan projek Central Spine Road (CSR), Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, jejambat dari Kota Bharu ke Wakaf Bharu dan projek menaiktaraf jalan Jeli-Kampung Reka Luar, Kuala Balah, Dabong.

“Keseluruhan projek ini sedang dilaksanakan dan ada yang sudah hampir siap dibina. Pembinaan jejambat dari Kota Bharu ke Wakaf Bharu dijadual siap sepenuh pada Disember ini dengan status semasa 89.3 peratus siap melibatkan anggaran kos keseluruhan RM105.5 juta.

“Dengan siapnya projek ini, ia dapat ‘meredakan’ kesesakan lalu lintas di Wakaf Bharu dan ia antara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan,” ujarnya.

Fadillah berkata, kerja-kerja pembaikan infrastruktur akibat banjir di Jalan Lojing-Gua Musang di sini yang melibatkan jalan dan cerun runtuh yang berlaku pada Januari tahun lalu telah dibaiki.

“Kerja-kerja baik pulih yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6 juta itu mula dilaksanakan pada Mei dan siap sepenuhnya pada September.

“Bagi kerja pembaikan cerun dilaluan Gua Musang-Cameron Highlands telah bermula pada Januari dan siap sepenuhnya September tahun lalu membabitkan kos RM4.74 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN