KLANG: Kira-kira 800 pelajar dan guru Sekolah Amanah, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung (SMK) Jawa menganjurkan program sambutan bulan kebangsaan dengan meriah selepas dua tahun tidak boleh berbuat demikian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
Pengetuanya, Aisah Jaman berkata, kesempatan yang ada setelah negara berada dalam situasi endemik sejak awal April lalu harus digunakan sebaiknya dengan mengadakan program penghayatan kemerdekaan.
“Sebagai pusat menuntut ilmu, sekolah adalah tempat terbaik dan selayaknya untuk menyemai semangat patriotik.
“Program sebegini adalah wadah untuk menggalakkan pelajar meningkatkan jati diri sebagai seorang warganegara yang cintakan tanah air tempat tumpah darahnya,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibaran Bendera Anak Merdeka, baru-baru ini.
Pada Jun lalu, SMK Kampung Jawa tercalon bagi kategori ‘Menangani Cabaran’ bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.
Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, Sekolah Amanah Malaysia tersebut disenarai pendek sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diumumkan pemenangnya bulan Oktober ini.
Mengulas lanjut, Aisah berkata, sambutan bertemakan Keluarga Malaysia itu diserikan dengan tarian dengan tema tersebut, sketsa perpaduan, deklamasi puisi, lagu patriotik dan tarian Inang yang turut ditarikan oleh pelajar bukan Melayu.
Sementara itu menurut tetamu khas program tersebut, Ketua Penerangan Alumni Gerakan Belia 4B Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohd. Azhar Zamri, program tersebut membuktikan komitmen seluruh warga sekolah dalam menjayakan sesuatu program hingga mampu membuka mata pihak antarabangsa mengiktiraf aktiviti Sekolah Amanah tersebut.
“Saya berharap sekolah ini berjaya memenangi gelaran sekolah terbaik dalam pertandingan yang diiktiraf peringkat dunia yang akan diumumkan Oktober ini.
“Penganjuran program yang bersungguh-sungguh menunjukkan betapa sekolah ini bersemangat dalam menjayakan sesuatu acara sebegini ,” katanya. – UTUSAN