KAMPAR: Kementerian Pendidikan akan menyiasat satu rakaman video yang dimuat naik dalam media sosial oleh seorang guru praktikal yang dikatakan berbaur seksual ke atas anak muridnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, selepas siasatan dan kajian dilakukan terhadap video itu, kementerian akan menentukan tindakan yang sepatutnya.
Menurutnya, dalam hal sedemikian, warga pendidik seharusnya berhati-hati apabila memuatkan naik sesuatu kandungan atau content mereka dalam media sosial kerana ia akan menjadi tatapan khalayak ramai.
“Biar saya tengok dan perhalusi dahulu kes ini supaya kita dapat mengambil tindakan yang sepatutnya.
“Kita akan tengok dahulu, kita akan perhalusi kes ini,” katanya kepada pemberita pada perasmian sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai satu rakaman video yang dimuat naik dalam media sosial oleh seorang guru praktikal yang dikritik hebat kerana didakwa mempunyai unsur berbaur seksual ke atas anak muridnya.
Selepas teruk dikecam, guru tersebut tampil membuat video permohonan maaf dan menurutnya, apa yang berlaku adalah disebabkan salah faham.
Mengulas kejadian itu, Hang Soon menasihatkan warga pendidik supaya berhati-hati menggunakan media sosial terutama apabila membuat satu-satu kandungan atau content dalam media sosial. – UTUSAN