Kementerian Kesihatan mahu selesai isu kekurangan jururawat - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan mahu selesai isu kekurangan jururawat

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Isu kekurangan jururawat di negara ini sedang ditangani Kementerian Kesihatan termasuk dengan mengambil tindakan menghentikan pelaksanaan moratorium (penangguhan) di peringkat latihan kejururawatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, moratorium itu dilaksanakan beberapa tahun setelah didapati berlaku lambakan bilangan jururawat namun kini terdapat kekurangan bagi perjawatan jururawat.

“Ada beberapa fasiliti kesihatan yang mengalami kekurangan jururawat, kementerian dalam proses mengisi jawatan-jawatan tersebut. Saya juga telah meminta lebih ramai lagi dilatih menjadi jururawat sebab di peringkat latihan berlakunya moratorium untuk beberapa tahun.

“Jadi di peringkat latihan itu kami minta hentikan moratorium dan penambahan dapat dilaksanakan seperti mana diperlukan di hospital,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau di Dewan Perpatih, PPD Rembau di sini hari ini.

Khairy menambah, isu kekurangan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan juga berpunca cabaran jururawat yang berhijrah ke negara luar untuk bekerja di sana.

“Saya sudah bawa kepada satu penyelesaian isu doktor kontrak, selepas ni saya mahu lihat pula soal jururawat, ada beberapa komitmen yang perlu dilaksanakan contoh jururawat yang sudah mendapat ijazah masih ada yang belum dinaikkan gred. Keduanya, jururawat masyarakat yang sudah melalui latihan untuk menjadi jururawat juga kami perlu selaraskan gred mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN