PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan beban yang digalas oleh mereka yang memberi maklumat, menyiasat, menjalankan proses pengadilan dan menentang ketidakadilan akhirnya membuahkan hasil.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) dalam kenyataan berkata, selama bertahun-tahun organisasi itu bersama pihak lain menghadapi pelbagai cabaran bagi menegakkan kebenaran dalam kes berkenaan.
Katanya, hukuman terhadap Najib sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan meniup semangat baharu untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik.
“Usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa, wajarlah diteruskan sebagai rakyat mengambil iktibar bahawa kejayaan hanya boleh dicapai dengan usaha bersama.
“Keputusan bersalah bekas Perdana Menteri itu merupakan hasil keringat pemberi maklumat, media, penyiasat, organisasi masyarakat sivil, pegawai kerajaan dan orang awam yang tampil mendedahkan jenayah kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.
Pusat C4 berkata, perjuangan menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan berterusan, tetapi ia akan diperjuangkan dengan kepercayaan bahawa keadilan masih mampu ditegakkan.
Katanya, keputusan semalam juga merupakan satu peringatan kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri malah mereka yang memanipulasi institusi-institusi awam untuk menyembunyikan kesalahan.
“Penghakiman tegas ini menegakkan kembali prinsip tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang termasuklah seorang bekas Perdana Menteri.
“Pusat C4 meraikan kekuatan dan kebebasan institusi kehakiman Malaysia dan semangat kolektif rakyat yang gigih dalam usaha memastikan individu yang pada suatu ketika dahulu merupakan individu paling berkuasa di negara ini, tersujud di muka keadilan,” katanya. – UTUSAN