PADANG TERAP: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mewujudkan bengkel Pusat Daya Maju (COME) yang menyediakan pelbagai peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat di luar bandar secara percuma.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kewujudan pusat itu selaras aspirasi Keluarga Malaysia untuk memastikan kumpulan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan.
Katanya, golongan peniaga atau usahawan baharu bidang jahitan misalnya yang tidak mempunyai peralatan lengkap boleh menggunakan peralatan yang disediakan secara percuma di COME.
“Dengan adanya bengkel ini, mereka boleh datang guna mesin-mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi.
“Selain itu mereka boleh mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat Kemas yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Kemas, di sini hari ini.
Jelas Mahdzir, setiap negeri mempunyai satu Pusat Daya Maju yang diwujudkan di premis bengkel jahitan Kemas sedia ada yang dijangka memberi manfaat kepada 3,000 usahawan baharu.
Beliau yakin, pembukaan 14 buah bengkel itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, ujar Mahdzir, Kemas akan membuka lebih banyak kelas-kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia.
“Sejajar dengan kewujudan COME, pada tahun ini juga, Kemas akan laksanakan kiosk ‘QUKIS KEMAS’ yang merupakan platform terbaik bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk usahawan bimbingan Kemas.
“Sejak tahun 2019 hingga kini, Kemas merekodkan sejumlah 166,788 orang yang telah menghadiri kelas-kelas kemahiran yang dikendalikan mereka,” katanya. – UTUSAN