PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa beliau tidak mahu mendabik dada dengan melaungkan segala kejayaan di bawah kepemimpinannya, sebaliknya membiarkan fakta yang berbicara.
Perdana Menteri berkata, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam suasana negara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang hebat sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos 2021.
Menurutnya, kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas, akhirnya negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu.
“Selain Malaysia, seluruh dunia turut terkesan akibat pandemik ini terutama dari sudut ekonomi dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sempadan telah menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas teruk,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium #KeluargaMalaysia, Pencapaian dan Harapan di sini hari ini.
Katanya, situasi itu bagaimanapun semakin pulih selaras dengan pembukaan sempadan sehingga banyak petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan membanggakan mutakhir ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dari sudut politik pula, negara pada waktu beliau mengambil alih tampuk pemerintahan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan.
“Ada pihak yang meramalkan bahawa bila-bila masa sahaja kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu.
“Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini telah menjangkau satu tahun,” katanya.
Katanya, beberapa pembaharuan politik yang radikal telah beliau lakukan dalam hanya setahun pentadbiran dan ia tidak akan berlaku tanpa sokongan semua ahli jemaah menteri serta semua ahli parlimen.
Jelasnya lagi, sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua pihak. – UTUSAN