Kapal LCS: Segera adakan sidang khas Parlimen - Utusan Malaysia

Kapal LCS: Segera adakan sidang khas Parlimen

ISU LSC mendapat perhatian Kabinet yang mengarahkan SPRM dan Pejabat Peguam Negara bertindak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membincangkan secara terperinci mengenai pembinaan lima kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menerusi kenyataan bersama, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mendesak supaya kerajaan menjawab hal itu dalam Parlimen supaya rakyat tahu mengenai hala tuju projek LCS.

“Memandangkan sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini, kami ingin mencadangkan kepada Ismail Sabri yang merupakan bekas Menteri Pertahanan, untuk bersetuju dengan sidang khas satu hari pada awal September demi mencari penyelesaian kepada isu perolehan LCS.

“Kami juga akan menulis kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim untuk menarik perhatian beliau supaya memperuntukkan satu hari semasa Dewan Negara bersidang dari 8 sehingga 16 Ogos untuk perbahasan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua pemimpin itu berasa hairan dengan tindakan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang telah mencadangkan nilai kontrak ataupun order book sebanyak RM53 bilion daripada pihak kerajaan bagi tujuan mendapatkan pinjaman melalui sukuk berjumlah RM4 bilion untuk memulihkan projek LCS pada Jun tahun lalu.

“Cadangan RM53 bilion order book daripada kerajaan adalah untuk kerja-kerja Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) untuk tempoh 30 tahun. Cadangan untuk BNS diberi order book bernilai RM53 bilion untuk tempoh 30 tahun adalah tidak wajar.

“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pada 20 April 2022 bahawa projek LCS akan diteruskan tetapi tiada sesiapa, termasuk PAC, dimaklumkan butiran dan kaedah mendapat dana, dan juga jadual masa.

“Hishammuddin dan kerajaan mesti memberi keterangan yang telus dan jelas, dan menjaminkan tiada penyelewengan dana yang akan membawa kemudaratan,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan berkata, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.

Katanya, pada asalnya, reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan tetapi keputusan itu telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Mohamad mendakwa telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk menyiasat projek-projek yang mecurigakan.

Katanya, pada 11 Februari 2020, Mohamad; Chin Tong; Ambrin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan pegawai-pegawai tinggi kementerian telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Keputusan hala tuju telah dicapai pada mesyuarat tersebut tetapi tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan PH tumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya