JOHOR BAHRU: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Demikianlah dilalui Anita Mohd. Salleh, 56, yang setia sepanjang masa menjaga suaminya, Ramli Ibrahim, 65, terlantar sakit sambil dibantu oleh anak-anak mereka.
Ibu kepada empat orang anak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran ini memberitahu, suaminya mula terlantar sakit sejak dua minggu lalu setelah menjalani rawatan dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Beliau berkata, suaminya menghidap pelbagai penyakit iaitu jantung lemah, kencing manis, buah pinggang dan sawan.
“Sudah dua minggu suami terbaring dan kadangkala sukar ketika menarik nafas kerana keadaan paru-parunya yang berair dan berkahak,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Blok D, Aras 4, Jalan Camar 14, Taman Perling.
Menurut Anita, segala makan, minum diuruskan oleh anak-anaknya termasuk membersihkan badan dan menyalin lampin pakai buang.
Anak ketiganya, Mohd. Nazri Ramli, 32, berkata, demi menjaga bapanya dia sanggup berhenti kerja kerana ibunya sudah tidak berapa kuat.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai peniaga kepak ayam di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerja dan balik ke Johor Bahru untuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit.
“Pada masa ini saya tidak bekerja sejak balik dari Kuala Lumpur kerana lebih rela menjaga bapa saya selagi hayat masih ada.
“Saya tidak sanggup melihat bapa terbaring dan mengerang sakit, seolah-olah susah untuk menarik nafas kerana keadaan paru-parunya berair dan berkahak,’’ katanya sambil memberitahu dia secara bergilir dengan adik bongsunya menjaga dan memberi susu khas melalui tiub kepada ayahnya.
Mohd. Nazri yang masih bujang berkata, mereka memerlukan RM800 sebulan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang serta bercadang menyewa tabung gas untuk bapanya sekiranya berlaku kecemasan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB bernombor 7040468031 atau Maybank 151445130663 atas nama Ramli Ibrahim atau menghubungi Mohd. Naari Ramli di talian 011-37553733. – UTUSAN