Gunung Inas: Tidak patuh SOP, bukan rasuah - Utusan Malaysia

Gunung Inas: Tidak patuh SOP, bukan rasuah

Gambar Gunung Inas selepas kejadian kepala air yang melanda Kampung Iboi di Banting, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling tidak mempunyai elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa sebaliknya perkara tersebut menjurus kepada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, perkara itu rumusan awal dapatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menemui perlakuan kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM yang dikenal pasti.

Kata sumber, tiada petunjuk ke arah kesalahan tersebut seperti wujudnya bukti-bukti pembayaran wang atau elemen-elemen lain menjurus ke arah perbuatan tersebut.

“Yang dikesan ialah proses projek tersebut tidak mengikut SOP yang ditetapkan malah agensi yang terlibat pula tidak membuat sebarang teguran atau mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Jelas sumber lagi, agensi yang terlibat seharusnya membuat teguran di peringkat awal apabila berlaku ketidakpatuhan SOP agar jika berlaku bencana seperti sekarang ia tidak menim­bulkan masalah dan persepsi serong oleh masyarakat.

EIA

Semalam akhbar ini me­laporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan, laporan Penilaian Impak Terhadap Alam Sekeliling (EIA) yang dilu­luskan bagi projek pembangunan di Gunung Inas adalah untuk projek perladangan hutan.

Projek berdekatan dengan kawasan terlibat bencana itu mempunyai kelulusan Laporan EIA pada 25 Julai 2013 iaitu Projek Pembangunan Hutan Ladang Di Hutan Simpan Gunung Inas Mukim Bakai, Kupang dan Pulai, Daerah Ba­ling.

Bagaimanapun, projek itu didapati melanggar syarat kelulusan laporan EIA iaitu me­ngubah spesies tanaman dari Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah klon balak kepada penanaman durian Musang King.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kerajaan negeri Kedah meluluskan lebih kurang 20 peratus kawasan tersebut untuk ditukar daripada tanaman TLC kepada tanaman durian Musang King tanpa membuat permohonan awal kepada JAS. Permohonan itu hanya di­terima pada Jun lalu.

Pada 25 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah mengambil beberapa dokumen daripada agensi berkaitan membabitkan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas selepas ia didakwa antara punca menyebabkan kejadian banjir dan kepala air di Kupang.

Dalam kejadian banjir lumpur pada 4 Julai itu el meragut tiga nyawa manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan apabila lebih 80 buah rumah terjejas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN