KUCHING: Pemimpin generasi muda amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Justeru, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu wajar mempertimbang untuk meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Seni Kreatiif dan Seni Persembahan Sarawak berkata GPS wajar memanfaatkan potensi generasi muda yang kreatif, inovatif dan bertenaga.
“Ini akan menjadikan kita (GPS) kekal relevan, selain mengemaskini dan mengejar masa.
“Melangkah ke hadapan, biarkan mereka belajar dari usia muda sekarang dan memanfaatkan kepintaran mereka sekarang dan bukan apabila usia mereka sudah lanjut,” katanya kata Snowdan kepada Utusan Malaysia ketika ditanya pandangan beliau berhubung kewajaran GPS meletakkan lebih ramai calon muda pada PRU15.
Tambahnya, suka atau tidak, kemunculan pemimpin-pemimpin muda adalah satu fakta yang perlu diakui kerana adalah lebih elok menjadikan mereka pemimpin hari ini dan bukan menunggu sehingga usia sudah lanjut.
“Berikan mereka ruang dan harus kita ingat bahawa undi 18 ada untuk kita ketuk.
“Pemimpin tidak berdiri sendiri. Terdapat pengikut dan penyokong di belakang mereka.
“Oleh itu, harus ada kesediaan untuk pemimpin-pemimpin yang sudah berstatus warga emas untuk memberi laluan kepada pemimpin generasi muda,” kata Snowdan.
Lebih-lebih lagi untuk demokrasi berkembang, katanya, biarlah golongan muda ini mengambil bahagian dalam menggubal dasar bukannya pengundi semata-mata.
“Mereka yang hidup dengan dasar-dasar ini dan sebab itu jadikan mereka sebahagian daripadanya,” tambah beliau.
Bagaimanapun, katanya, dalam semua keadaan, sebelum meletakkan mereka sebagai calon harus dipastikan mereka mendapat sokongan akar umbi, berpaksikan rakyat, mempunyai hubungan rapat dengan orang ramai dan berkelayakan dari segi akademik.
Katanya, pilihan calon “payung terjun” lebih kerap tidak membawa hasil yang dibarapkan.
“Pendek kata mereka yang dicalon sebagai pada PRU mesti mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi, bervisi serta memiliki kemahiran dan latihan yang secukupnya,” tambah beliau. –UTUSAN










