fbpx

Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar 

HASIAH Saat (kanan) bersama anak perempuannya melihat keadaan rumahnya yang hangus dalam kebakaran di Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka terbakar dalam kejadian di Felda Chiku 3, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu berlaku semasa semua penghuni sedang berehat dan menonton televisyen sebelum menyedari api marak dari salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Mangsa, Hasiah Saat, 59, berkata, api yang marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan semua barangan yang berada di dalam rumah.

Menurutnya, kebakaran tersebut menyebabkan dia mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM100,000 apabila enam buah motosikal dan sebuah kereta gagal diselamatkan.

“Sebelum kejadian, saya bersama anak dan cucu sedang menonton televisyen sebelum mendengar jeritan yang meminta supaya keluar untuk menyelamatkan diri.

“Kami terkejut sebelum menyedari api sudah marak membakar bilik tidur yang diperbuat daripada binaan kayu di bahagian tingkat atas rumah,” katanya. 

Sementara itu, anak kedua Hasiah, Nik Suhana Nik Hassan, 38, memberitahu, mereka sedih apabila rumah yang dihuni sejak 38 tahun lalu musnah sekelip mata dalam kebakaran.

Bagaimanapun, katanya, dia juga bersyukur apabila semua ahli keluarganya selamat termasuklah seorang bayinya yang berusia tujuh bulan. 

“Kami kini tinggal menumpang di rumah adik beradik lain di kawasan berhampiran buat sementara waktu.

“Kami berharap ada pihak yang sudi membantu memberi kediaman baharu buat kami yang hilang tempat berteduh,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menghubungi Nik Suhana di talian 017-9347355 atau menerusi nombor akaun Maybank bernombor 158015149249. –UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!