SEREMBAN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini membahaskan usul mengenai kenaikan kos sara hidup dan inflasi yang menyebabkan tekanan yang tinggi kepada rakyat ketika ini.
Usul dibawa oleh Loke Siew Fook (PH-Chennah) itu juga menyeru kerajaan Negeri Sembilan membekukan sebarang kenaikan kadar cukai, sewa, caj dan apa-apa bayaran di bawah kawalan pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri ini sehingga masalah inflasi dapat dikawal.
“Saya bagi pihak back-bencher (penyokong kerajaan) membawa usul ini di atas keprihatinan kita terhadap isu inflasi dan kos sara hidup yang sedang membelenggu rakyat.
“Kita kena tunjukkan satu sikap proaktif bahawa semua pihak kena bekerjasama, memainkan peranan untuk menyelesaikan isu ini dan memberikan usaha dan pandangan dan memberikan sesuatu untuk kita sama-sama menangani masalah kos sara hidup.
“Kerajaan negeri boleh ambil jalan mudah dan bermain politik dan katakan ini masalah kerajaan Persekutuan, tetapi sebagai sebuah kerajaan negeri yang prihatin, usul ini dibawa supaya kerajaan negeri dapat ambil langkah yang proaktif dan konstruktif bagi menangani masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan usul tersebut dalam Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.
Sementara itu, Siew Fook berkat, cadangan supaya membekukan kenaikan cukai, sewa dan caj itu tentunya boleh memberikan cabaran kepada kewangan negeri, justeru beliau berharap supaya kerajaan Negeri Sembilan dapat bijak mengoptimumkan segala sumber termasuk melakukan penjimatan daripada segi perbelanjaan pengurusan.
“Kita mesti ambil tanggungjawab dan proaktif supaya rakyat tidak melihat kita hanya memberikan kritikan sahaja, kita juga ada cadangan dan tindakan bernas yang boleh kita lakukan di peringkat negeri
“Saya memohon pertimbangan, kita mungkin jadi DUN yang pertama bawa usul khusus seperti ini, ia tanda komitmen dari kerajaan negeri dan yakin saya yakin ini memberikan satu mesej yang positif kepada rakyat dan menjadi perhatian negeri-negeri lain juga,” katanya.
Ketika membahaskan usul itu juga, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (BN-Linggi) mencadangkan kerajaan negeri, menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), agar lebih bertoleransi dengan pengguna yang mempunyai bil air tertunggak dengan memberikan tempoh masa tertentu bagi pembayaran bil atau secara ansuran.
“Saya menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk membuat pembayaran dan berharap pihak Sains memberikan notis terlebih dahulu sebelum membuat pemotongan,” katanya.
Perbahasan mengenai usul berkenaan akan bersambung dalam sidang DUN esok. – UTUSAN