Dua peguam dibenar wakili Tommy, bantahan Najib ditolak - Utusan Malaysia

Dua peguam dibenar wakili Tommy, bantahan Najib ditolak

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mewakili bekas Peguam Negara itu dalam tuntutan saman RM1.9 juta yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap beliau.

Perkara itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Bache selepas menolak permohonan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili bekas Perdana Menteri agar kedua-duanya digugurkan daripada mewakili Tommy.

Mahkamah berpendapat Alan Adrian Gomez dan Mervin Lai Wei Shiung yang juga rakan kongsi firma guaman itu mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mewakili Tommy dalam tuntutan saman tersebut.

Hakim Ahmad berpuas hati bahawa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun telah mengeluarkan surat lantikan (fiat) pada 29 Julai lalu kepada kedua-dua peguam itu.

Ujar Hakim Ahmad, Peguam Negara telah mempertimbang semua keadaan dan keperluan yang membolehkan kedua-dua peguam berkenaan bertindak mewakili defendan secara profesional.

Pada 12 Ogos lalu, Firoz membantah pelantikan kedua-duanya atas alasan tindakan itu tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman itu.

Hujah beliau, Tommy selaku defendan pertama merupakan pengasas dan kini konsultan firma guaman tersebut manakala kedua-duanya yang merupakan rakan kongsi juga mempunyai kepentingan wang secara bersama dalam firma berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun menolak penghujahan itu atas alasan firma guaman itu dan kedua-dua rakan kongsinya tidak mempunyai hubung kait dengan pertikaian di antara Najib dan Tommy.

Pada hemat Hakim Ahmad, malah isu kewujudan kepentingan peribadi dan kepentingan wang yang dibangkitkan oleh Firoz tidak dibuktikan dalam afidavit sokongan Najib.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmad turut berpuas hati, kedua-dua peguam itu mahupun rakan kongsi yang lain tidak terlibat dalam pendakwaan terhadap Najib manakala Tommy telah berpindah daripada alamat di firma guamannya ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sewaktu memegang jawatan itu.

Beliau turut menyatakan, kedua-dua peguam tersebut tidak dalam kedudukan yang memalukan jika bertindak mewakili Tommy dalam tuntutan saman berkenaan.

Menurut beliau, meskipun Tommy dahulunya pengasas firma guaman tersebut, beliau bukan lagi rakan kongsi sebaliknya kini selaku perunding dan tidak mendapat sebarang keuntungan daripada firma itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 September ini bagi mendengar permohonan Tommy dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman Najib berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu dituduh secara salah.

Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 dan mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Tuduhan-tuduhan tersebut membabitkan 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Beliau mendakwa, pada 2015 Tommy bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dakwa Najib, Tommy turut menasihati Dr. Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap beliau berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Bekas Perdana Menteri turut mendakwa, pada 2016 Tommy dalam artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini telah mengkritik dan menuduh beliau mencuri dana 1MDB.

Beliau berkata pada 10 Mei 2018, Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau kemudiannya melantik Tommy sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018.

Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya dan berniat jahat untuk mempengaruhi dan mengarahkan penyiasatan terhadapnya serta merancang untuk memenjarakan beliau selain mendakwa pendakwaan terhadapnya tidak mengikut undang-undang.

Oleh itu, Najib juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi.

Ganti rugi itu juga termasuk kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Tommy dan kerajaan melalui notis difailkan pada 18 November 2021 memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Melalui afidavit sokongan diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah, Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah.

Katanya, keputusan Pendakwa Raya adalah berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes di mana tindakan Najib memfailkan saman itu adalah suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya