Dua lelaki cuba seludup 2,720 kg minyak masak peket dicekup - Utusan Malaysia

Dua lelaki cuba seludup 2,720 kg minyak masak peket dicekup

ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP Kelantan (kiri) bersama polis memeriksa minyak masak peket bersubsidi yang dirampas dalam satu serbuan berhampiran kawasan simpangan tiga dekat stesen pemancar televisyen di Peringat, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan seorang pemandu dan kelindan sebuah lori yang dipercayai cuba menyeludup 2,720 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi gagal selepas ditahan anggota penguat kuasa di kawasan simpang tiga berhampiran sebuah stesen pemancar televisyen di Peringat, di sini semalam.

Lelaki berusia 40 dan 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan Op Bersepadu bersama Polis Marin Wilayah Tiga (PPM) Pengkalan Kubor serta dan Tok Bali Pasir Puteh pada pukul 3.20 petang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri , Aswadi Jaafar berkata, dalam Op Bersepadu itu pihaknya mengesan sebuah lori jenis Isuzu dari arah Pauh Lima menuju ke Peringat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa bertindak mengekori lori tersebut selama 20 minit sebelum  menahan kenderaan itu untuk tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemukan 2,720 kg minyak masak peket bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM6,800.

“Hasil maklum balas, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, maklumat atau resit sebagai pemilikan barang kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

Katanya, KPDNHEP Kelantan tidak menolak kemungkinan suspek akan membawa barang kawalan itu ke stor transit sementara di sempadan sebelum menyeludup bahan mentah itu menggunakan pangkalan haram.

“Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan berkenaan diperoleh. KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya