SEREMBAN: Dilantik dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR di dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka disifatkan sebagai satu tugas berat buat Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagaimanapun, jelas Naib Presiden PKR itu, penerimaan oleh semua ketua cabang parti di kedua-dua negeri itu membuktikan PKR tidak lagi berpecah terutama di akar umbi dan tumpuan boleh diberikan sebaiknya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Satu tugas yang berat dan satu tugas tambahan buat saya. Bagaimanapun, Alhamdulillah, penerimaan daripada ketua-ketua cabang nampaknya amat baik dan tidak berlaku perpecahan, ini merupakan satu langkah yang bijak daripada Presiden PKR.
“Kehadiran ketua-ketua cabang juga menunjukkan sokongan kepada keputusan oleh Presiden itu. Saya berharap tumpuan PKR dalam masa yang pendek ini adalah untuk menghadapi PRU15 dengan memperkukuhkan jentera parti.
“Pemilihan parti juga selesai, PKR dalam keadaan baik, hubungan di bawah juga nampaknya aman dan berharap ini merupakan tanda bahawa PKR memang akan beri tumpuan untuk hadapi PRU15 yang semakin dekat,” katanya ketika ditemui pemberita di Sikamat di sini hari ini.
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Aminuddin dikekalkan sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan selain turut dilantik sebagai Pengerusi MPN PKR Melaka.
Keputusan itu jelas Anwar hasil persetujuan semua ketua-ketua cabang PKR di negeri-negeri tersebut selepas mesyuarat bersama yang diadakan.
Sementara itu, Aminuddin berkata, sudah tentu tugas berat menantinya untuk memimpin PKR Melaka terutama untuk memulih dan mengembalikan kekuatan parti di negeri tersebut selepas tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.
“Memang tugas berat, tetapi, kena yakin kerana selepas Kongres PKR, seperti ada momentum baharu dan kami kena terus bina momentum tersebut dengan baik dan bersungguh-sungguh.
“Lupakan pemilihan (parti) yang lalu dan tumpukan kepada pilihan raya, itu yang paling penting. Di Melaka dan Johor kami kalah sewaktu PRN tetapi tidak bermakna dalam tempoh terdekat kami tidak boleh bangkit sebagai parti yang dipercayai rakyat,” katanya. –UTUSAN ONLINE