JOHOR BAHRU: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi terbongkar selepas polis mengesan seorang individu mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari.
Ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati tangki minyak pada lori berkenaan sudah diubah suai.
“Kita turut menemukan dua tong berisi diesel dianggarkan 200 liter setiap satu di bahagian belakang kenderaan itu.
“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori itu disyaki melakukan kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas lori, dua tong diesel dianggarkan 272.93 liter diesel serta resit pembelian berjumlah RM186 dengan nilai keseluruhan barang rampasan mencecah RM20,500.
Pihaknya akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan atau ketirisan diesel atau minyak lain diatasi.
“Kita juga mengharapkan orang ramai terus menyalurkan maklumat mengenai apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










