[DEWAN RAKYAT] PAC akan panggil Kementerian Wilayah berhubung isu mitigasi banjir - Utusan Malaysia

[DEWAN RAKYAT] PAC akan panggil Kementerian Wilayah berhubung isu mitigasi banjir

PEMANDU kenderaan di Lembah Klang sering menghadapi risiko terperangkap di dalam banjir kilat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung Pengurusan Mitigasi Banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta.

Ia berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 yang merumuskan bahawa pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektif yang ditetapkan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, bagaimanapun pihaknya belum menetapkan tarikh untuk memanggil wakil daripada kementerian tersebut.

“Tarikh tidak ada lagi. Esok hari terakhir sidang. Kita kena susun masa untuk Ogos dan September,” katanya ringkas pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan, secara kebiasaannya antara wakil yang akan dipanggil untuk menghadiri prosiding tersebut adalah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

“Dalam kes ini kita juga akan memanggil menteri (Datuk Seri Shahidan Kassim) untuk memberikan keterangan berkenaan isu-isu yang berbangkit LKAN.

“Kalau menteri datang, sudah tentu Datuk Bandar (Datuk Seri Mahadi Che Ngah) ada sekali. Sebelum ini kami panggil Khalid Samad, Datuk Bandar datang sekali. Ini juga sama,” jelasnya.

Menurut laporan itu, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah pelan induk yang belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan masalah banjir kilat belum dapat diatasi.

Selain itu, masih berlaku banjir kilat selepas projek mitigasi banjir dilaksanakan.

Antara kelemahan lain adalah pelantikan kontraktor bagi tiga projek mitigasi banjir bernilai RM27.68 juta tidak mematuhi prinsip-prinsip perolehan yang ditetapkan, lanjutan masa diluluskan selepas kontrak tamat dan tiada bukti seliaan kerja penyelenggaraan dilaksanakan.

Kah Woh dalam masa yang sama turut memaklumkan PAC akan membentangkan laporan berhubung Perolehan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat esok.

Laporan PAC setebal 250 muka surat ini tidak termasuk hansard prosiding dan dokumen pembentangan akan mempunyai beberapa pembaharuan dan penambahbaikan daripada segi kandungannya dalam memudahkan orang awam memahami isu-isu yang dilaporkan dalam laporan PAC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.