[DEWAN RAKYAT] MAFI jamin tiada kelewatan isu pengedaran benih padi sah - Utusan Malaysia

[DEWAN RAKYAT] MAFI jamin tiada kelewatan isu pengedaran benih padi sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan tiada kelewatan berhubung isu pengedaran benih padi sah bagi musim 2/2021.

Menjelaskan perkara tersebut, Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya sudah melaksanakan beberapa pendekatan bagi menjamin tiada kelewatan dalam mendapatkan benih padi sah.

“Lesen dan permit peruncit diberi kepada ejen, individu atau syarikat berdaftar dengan kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar atau pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah.

“MAFI juga sudah memperkenal kaedah baharu dalam menambah baik sistem pengedaran benih padi sah sedia ada iaitu hanya 30 peratus dilaksanakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) manakala bakinya melalui pemborong lain dilantik di seluruh negara.

“Sejak sistem baharu ini dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah lebih teratur dan sistematik, sekali gus isu kelewatan juga dapat ditangani,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh) mengajukan soalan mengenai kelewatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menurunkan subsidi benih padi kepada petani, selain rasional dan jaminan MAFI dan agensinya tidak mengganggu golongan penternak.

Jelas Ronald, dalam hal ini seramai 13 pemborong benih padi sah dan 12 syarikat pengeluar telah dilantik melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Sementara itu, Ronald turut menafikan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), agensi dan pihak swasta bagi program MAFI akan mengganggu golongan sasar kementerian itu.

Sebaliknya beliau berkata, pembabitan pihak berkenaan bertujuan menambah baik penyampaian perkhidmatan dalam suasana ekonomi pasca Covid-19 dan landskap ekonomi global semakin kompetitif.

“Kerjasama awam-swasta juga disebut dalam Teras Dasar 2, Strategi 1 dan 2, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah sebagai pelengkap dan mengukuhkan lagi rantaian bekalan makanan negara.

“Melalui rangka kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta, maka tidak timbul isu GLC, GLIC dan agensi lainnya akan mengganggu-gugat golongan sasar MAFI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN