PETALING JAYA: DAP tidak pernah mendominasi kerajaan mahupun Pakatan Harapan (PH) semasa pakatan itu memerintah selama 22 bulan sebelum ini.
Sehubungan itu Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, strategi UMNO untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan menjaja naratif bahawa kerajaan PH adalah kerajaan DAP merupakan satu tindakan yang memutarbelitkan fakta dan angka terhadap peranan parti itu.
Katanya, walaupun DAP adalah parti utama, tidak sekali-kali DAP mendominasi kerajaan atau PH adalah kerajaan DAP seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kabinet PH terdiri daripada 29 ahli, di mana DAP hanya mempunyai enam menteri. Tiada seorang pun daripada enam menteri DAP itu memegang jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.
“Perdana Menteri harus kembali dan belajar Matematik tentang cara mengira, jika dia percaya bahawa enam daripada 29 anggota Kabinet sama dengan mendominasi Kabinet kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, naratif palsu UMNO kemudiannya diteruskan dengan dakwaan bahawa DAP menolak subsidi atau bantuan kewangan terus.
Namun katanya, had minyak petrol bersubsidi RON95 pada RM2.08 seliter dimulakan di bawah PH, di mana harga boleh turun di bawah kadar RM 2.08 seliter apabila harga minyak mentah dunia jatuh, tetapi tidak dibenarkan melebihi RM 2.08 seliter apabila harganya meningkat.
“Menteri Pengangkutan DAP (Anthony Loke Siew Fook) juga telah mencadangkan pembayaran balik RM555 juta kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang telah dibelanjakan untuk mengambil alih konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan memandu, yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
“DAP juga telah memulakan pengurangan tol sebanyak 18 peratus untuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan sepenuhnya tol PLUS menjelang akhir 2022. Ini berbeza dengan kerajaan Ismail Sabri yang gagal mengurangkan tol satu sen pun.
“Akhir sekali, dalam Memorandum Persefahaman yang ditandatangani PH dengan Ismail Sabri pada September 2021, cadangan DAP untuk menambah suntikan dana RM45 bilion untuk membantu golongan memerlukan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 telah dipersetujui.
“Kebanyakan bantuan itu, yang dinamakan semula sebagai Bantuan Keluarga Malaysia, telah diterima oleh perniagaan dan rakyat berasal daripada tambahan suntikan dana RM45 bilion yang dicadangkan oleh DAP,” katanya.
Justeru beliau menambah, UMNO kini kembali memainkan sentimen ekstremis untuk memenangi pilihan raya umum dengan menyalahkan segala-galanya kepada DAP.
“Satu kes klasik UMNO dalam memutarbelitkan fakta dan angka ialah pakej penyelamat PH yang berjaya untuk Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang berada dalam kesusahan selepas penyelewengan kewangan. Pakej penyelamat itu telah disokong oleh Kementerian Kewangan.
“UMNO sebelum ini secara palsu menuduh DAP membahayakan dan meletakkan orang bukan Islam bertanggungjawab ke atas Tabung Haji.
“Bagaimanapun, selepas UMNO kembali berkuasa melalui pintu belakang, mereka tidak membuat sebarang komen apabila Ketua Audit Negara mengesahkan langkah tepat yang diambil PH telah menyelamatkan Tabung Haji daripada masalah kewangan,” katanya. – UTUSAN