fbpx

Pegawai imigresen diherdik KPPA: CUEPACS desak campur tangan PM, KSN

ADNAN MAT

PORT DICKSON: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan campur tangan dalam insiden seorang penjawat awam berpangkat ketua pengarah yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai jabatan imigresen, semalam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya kesal berhubung kejadian yang didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu yang dilihat boleh menjejaskan imej pegawai perkhidmatan awam. 

“Ia amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf orang kenamaan sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kerajaan dengan bijaksana dan memahami tugasan mereka di lapangan serta bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa.

“CUEPACS berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan kakitangan awam serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan dan Taklimat Isu Semasa CUEPACS, di sini hari ini. 

Semalam media melaporkan, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai kanan berjawatan ketua pengarah yang didakwa mereka menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai jabatan imigresen yang sedang bertugas di KLIA. 

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, insiden bermula apabila tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik orang kenamaan (VIP) KLIA dan pegawai kanan itu mahukan layanan orang kenamaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula menerusi kenyataan hari ini menegaskan, segala pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.

JPA dalam kenyataan memaklumkan, ia susulan kenyataan yang sedang tular di media sosial berhubung tuduhan kononnya KPPA mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen di KLIA pagi semalam.

Sementara itu Adnan menambah, pihaknya dengan gabungan kesatuan lain turut akan melakukan siasatan sendiri berhubung kejadian berkenaan.

“Saya percaya ada kamera litar tertutup (CCTV) dan boleh melihat pihak yang mana benar atau apa kepincangan yang berlaku di antara dua pihak berkenaan. 

“Berlandaskan prinsip Keluarga Malaysia, perkhidmatan awam mesti bergerak berdasarkan nilai-nilai yang disemai dalam semangat keluarga malaysia seperti mana yang disarankan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!