Cedera dipukul dengan spanar, bergaduh depan pusat hiburan

Pemuda cedera dipukul dengan spanar, bergaduh depan pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipukul dengan spanar dalam pergaduhan yang tercetus disebabkan salah faham di depan sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis menerima laporan tentang kejadian itu susulan video tular dalam media sosial berdurasi 13 saat memaparkan kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 24 tahun cedera dipukul menggunakan spanar oleh seorang lelaki dipercayai warga Singapura.

“Kejadian itu berlaku di tepi jalan berhadapan pusat hiburan tersebut. Hasil siasatan mendapati pengadu adalah seorang lelaki warga tempatan  dipukul menggunakan spanar oleh seorang lelaki warga asing anggaran umur 20 hingga 30 tahun.

“Mangsa tidak mengenali suspek berkenaan. Dalam kejadian tersebut mangsa mengalami luka di bahagian hidung dan lebam pada mata kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham semasa mereka berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, suspek datang bersama-sama dua lagi rakannya dengan menaiki kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura.

“Susulan kejadian itu, kita sedang mengesan tiga suspek warga asing tersebut untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Sivakumaran, 019-5127410. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN