Calon kerusi Putrajaya? Radzi Jidin tolak dakwaan - Utusan Malaysia

Calon kerusi Putrajaya? Radzi Jidin tolak dakwaan

RADZI Jidin melihat rekaan ciptaan pelajar semasa melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran DELIMa: Agenda Digital Kita di SMK Putrajaya Presint 8 (1) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kehadiran Datuk Dr. Radzi Jidin yang sering kali dilihat merasmikan dan menghadiri program-program di sini tiada kaitan dengan desas-desus beliau bakal menjadi calon bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Menteri Kanan Pendidikan itu secara jelas menolak dakwaan bahawa beliau akan bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“(Mengenai) program di Putrajaya, sebab banyak sangat maka kita perlu mencari lokasi yang paling dekat bagi memudahkan pergerakan, itu yang paling penting. Kalau saudara-saudari tengok sepanjang Ogos sampai September hampir hari-hari kita akan laksanakan penjelasan atau pelancaran perkara-perkara baharu di bawah semangat Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan.

“Kita mahu rakyat seluruh negara lihat apakah yang sedang, telah dan akan dilaksanakan. Jika sebelum ini kita tidak dapat laksanakan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dan sekarang bila dah buka (semula) kita susun hampir sepanjang bulan ini. Programnya itu amat padat maka lokasinya kita pilih adalah lokasi bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus dirinya bakal menjadi calon di Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas melancarkan Platform Pembelajaran Digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini hari ini.

Difahamkan terdapat lima program yang dihadiri oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sepanjang minggu lalu dan minggu ini termasuk ketika hujung minggu.

Antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di SMK Presint 16 (1) pada 7 Ogos; Showcase Transformasi Pendidikan di pusat beli-belah Alamanda (13 Ogos); program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos); Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan ICT di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) serta pelancaran platform DELIMa hari ini.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Putrajaya yang dimenangi beliau sejak empat penggal lalu.

Pada PRU-14, Radzi tewas di Parlimen Ketereh kepada penyandang kerusi tersebut, Tan Sri Annuar Musa dengan hanya mendapat 6,799 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN