Bukit gondol bukan gambar lama - Utusan Malaysia

Bukit gondol bukan gambar lama

GAMBAR bertarikh 24 Julai 2022 yang dirakamkan jurugambar Utusan Malaysia pada pukul 11.57 pagi ketika melakukan pemantauan di HSK Rimba Teloi yang berisiko menjadi ancaman kepala air di Sik, Kedah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: “Pokok-pokok dah tumbuhlah. Pokok tutup bumi, bukanlah gondol macam gambaran di Utusan (Malaysia) itu kan? Utusan itu gambar lama. Cucilah gambar baru, la ni (sekarang) bukan kena cuci dah, pakai digital.

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika diajukan soalan berkaitan risiko projek tanaman Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi di Sik, dekat sini seperti dilaporkan di muka hadapan akhbar ini, minggu lalu.

Sanusi mendakwa, terdapat gambar yang lebih baharu bagi menggambarkan keadaan terkini di HSK Rimba Teloi itu yang diperoleh melalui jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji risiko projek berkenaan.

Muhammad Sanusi berkata, laporan jawatankuasa yang ditelitinya juga menyatakan terdapat kemungkinan kawasan penempatan berhampiran berisiko, namun beliau mengharap­kan ia tidak menjadi tragedi seperti di Gunung Inas.

“Di Sik (Rimba Teloi) itu dia punya muka bumi taklah tinggi macam Gunung Inas. Ia kawasan berbukit juga tapi tak tinggi sa­ngat. Jarak dengan kampung terdekat lebih dua ki­lometer dari kawasan tanaman itu (Musang King).

“Saya baca laporan jawatankuasa yang ditubuhkan di Sik itu. Mungkin ada risiko, tapi kita harap tak adalah. Kalau Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeli­ling (EIA) oleh pihak-pihak yang ada kepakaran (menyatakan) ada risiko besar, mungkin tidak dibenarkan. Tapi depa (mereka) dah tanamkan, ada EIA boleh tanamlah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Rumah ganti

Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang di sini.

Pada Rabu lalu, akhbar ini melaporkan, HSK Rimba Teloi yang turut diteroka untuk di­usahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King berisiko mengu­langi episod sedih tragedi ke­pala air dan banjir lumpur di Gunung Inas pada 4 Julai lalu.

Berdasarkan tinjauan di kawasan terbabit, sekurang-kurangnya empat kolam taku­ngan dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut berada di atas puncak bukit berkenaan melibatkan kompartment 66 dan 67 yang berkelua­san kira-kira 200 hektar.

Daripada pemerhatian juga, bahagian lereng bukit sudah ditarah menjadi teres yang dipercayai bagi penanaman durian Mu­sang King, sekali gus me­nim­bulkan persoalan sama ada ia mematuhi syarat 25 darjah ce­run yang digariskan dalam La­­poran Penilaian EIA.

Aktiviti semaian anak-anak pokok durian berkualiti tinggi itu juga dilihat sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja ladang terbabit berhampiran kawasan tanaman.

Musang King

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika ditanya sama ada projek tanaman Musang King di HSK Rimba Teloi boleh dite­ruskan, beliau hanya menjawab ‘ya’ tanpa membuat ulasan lanjut.
Dalam pada itu, beliau me­ngajak semua untuk berdoa agar banjir dan kejadian tidak diingini berlaku di negeri ini terutama di Baling selepas tiga kejadian berlaku dalam tempoh sebulan.

“(Untuk langkah) jangka pendek, berdoa kepada Allah Taala supaya tidak menurunkan banjir di Baling ini, kalau jangka pendeklah, semua ni Allah bagi, kita tak tahu nak agak nak buat lagu (macam) mana. Negeri maju pun tak boleh buat kan.

Sementara itu, jurufoto Utusan Malaysia, Shahir Noordin menjelaskan tentang gambar yang dipertikaikan itu berkata, gambar muka depan bertajuk Ancaman Rimba Teloi pada 27 Julai lalu adalah gambar yang dirakam menggunakan dron pada pukul 11.57 pagi, 24 Julai lalu.

Menurut beliau, gambar tersebut dirakam lebih awal tiga hari sebelum disiarkan pada 27 Julai dan kurang dua minggu dari semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN