Bot karam, juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

Bot karam, juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

BOT dinaiki mangsa yang hampir karam di perairan Pulau Mantabuan, Semporna semalam.-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Seorang juragan terpaksa berenang selama enam jam bagi mendapatkan bantuan apabila bot dinaiki bersama 11 orang penumpang hampir karam selepas terlanggar kayu di perairan Pulau Mantabuan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, bot yang dinaiki 11 penumpang berusia tiga hingga 79 tahun itu terlanggar sebatang kayu yang terapung hingga menyebabkan bot mengalami kebocoran dan dimasuki air.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua penumpang terpaksa berpaut pada bot yang mengalami kebocoran dan diikat bersama tong minyak kosong sehingga diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, bot dikendalikan juragan tempatan berusia 46 tahun itu sedang dalam perjalanan daripada Filipina menuju ke perairan daerah ini pada pukul 2 petang semalam.

Namun, apabila berada berhampiran Pulau Mantabuan, bot dinaiki mereka terlanggar kayu yang terapung yang mengakibatkan bot dinaiki bocor dan dimasuki air.

“Juragan dan penumpang bertindak pantas mengikat tong minyak kosong dikeliling bot bagi mengelakkan bot tersebut karam. Juragan kemudian berenang ke kawasan pulau bagi mendapatkan bantuan pasukan keselamatan.

“Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di Pulau Mantabuan kemudian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa dan menyerahkan mereka kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut.

“Kesemua penumpang berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Kejadian itu kemudian dilaporkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 11.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati, enam penumpang merupakan warga tempatan manakala, lima lagi warga asing termasuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Mohd. Farhan berkata, empat PATI dan juragan bot ditahan bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu dengan cuai. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000.

Empat PATI yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak lebih enam kali.

Tambah beliau, polis juga menasihati juragan-juragan bot supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan penumpang dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN