PITAS: Seorang warga emas lelaki melecur di bahagian leher dan lengan tangan kanan selepas rumah sewa didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan Saab dekat sini, semalam.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Gabuh Maradan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam dan menggerakkan tujuh anggota bersama dua aset bomba ke lokasi kejadian.
“Operasi memadam kebakaran dijalankan membabitkan dua rumah sewa jenis tidak kekal. Seorang mangsa lelaki berusia 65 tahun cedera akibat melecur di bahagian leher dan lengan tangan kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang awam menghantar mangsa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan bomba.
“Operasi ditamatkan pukul 11.58 malam. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










