Bomba beri perhatian lima lokasi utama risiko kepala air

Bomba beri perhatian lima lokasi utama risiko kepala air

SAYANI Saidon menyampaikan sijil kepada wakil pasukan Bomba Komuniti Zon II sempena Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran di Pantai Murni, Yan. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan memberi tumpuan khusus di lima daripada 18 lokasi di negeri ini yang dianggap berisiko dilanda fenomena kepala air berikutan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, lima lokasi itu adalah di Gunung Jerai dan Titi Hayun di Yan, Sungai Sedim di Kulim, Bukit Wang di Jitra, dan di Surau Batu di Sintok serta air Terjun Temurun di Langkawi.

Selain itu, Sungai Lata Chelak di Kampung Iboi, Baling juga antara lokasi yang dianggap berisiko ketika ini susulan kejadian kepala air yang berlaku pada 4 Julai lalu sehingga mengorbankan tiga nyawa.

“Lokasi lain yang turut tersenarai berisiko adalah Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh (Langkawi), Air Terjun Ulu Paip (Kulim), Air Terjun Bukit Hijau, Lata Bayu, dan Sungai Ketil di Baling.

“Air Terjun Lata Mengkuang, Perangin dan Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang dan beberapa lagi kawasan lain,” katanya dalam Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Peringkat Zon 2 JBPM Negeri Kedah 2022 di Pantai Murni, di sini, hari ini.

Oleh itu, Sayani menasihatkan orang ramai yang ingin menjalani aktiviti di air supaya mengambil langkah keselamatan termasuk beredar segera dari kawasan itu sekiranya hujan lebat yang menyebabkan aliran sungai berubah warna atau daun kering hanyut.

Sementara itu, Sayani berkata, sebanyak 10 pasukan Bomba Komuniti dengan keahlian seramai 177 orang ahli telah ditubuhkan bagi Zon II untuk Daerah Kuala Muda dan Yan.

Katanya, pasukan itu berperanan menjaga keselamatan penduduk selain menjadi ejen dalam menyalurkan maklumat kepada pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran dan ancaman banjir kilat atau banjir lumpur seperti yang berlaku di Yan tahun lalu serta Baling, baru-baru ini.

“Setakat ini kita sudah ada 61 pasukan bomba komuniti disertai seramai 893 orang ahli di seluruh Kedah dan bilangan ini dijangka bertambah.

“Selepas ini, kita akan tubuhkan Bomba Komuniti di Zon 3 iaitu di Daerah Kulim berhampiran dengan Sungai Sedim dalam usaha untuk menambah keahlian lebih ramai menyertai pasukan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya