Birokrasi bank punca penipuan keldai akaun berterusan - Utusan Malaysia

Birokrasi bank punca penipuan keldai akaun berterusan

RAMAI yang terperangkap dengan penipuan siber sehingga dipaksa menjadi keldai akaun. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes penipuan terutama keldai akaun semakin menjadi-jadi kerana sesetengah bank didakwa terlalu banyak birokrasi dalam membantu siasatan polis terutama lewat menyiasat paparan kamera litar tertutup sewaktu sindiket mengeluarkan wang hasil penipuan.

Lebih membimbangkan, Ketua Jabatan Aduan, Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Syed Kamarulzaman Syed Abdullah mendakwa, sikap pihak berkuasa yang tidak serius menyiasat ‘jejak wang’ membabitkan penipuan keldai akaun juga mendorong scammer semakin berani.

Beliau mendedahkan, peningkatan kes keldai akaun terlalu kritikal sehingga pihaknya menerima tidak kurang daripada 50 aduan secara purata setiap bulan, malah mendapati tidak kurang lima kes penipuan membabitkan keldai akaun dibicarakan setiap hari di mahkamah.

“Antara kes yang kita terima adalah pengeluaran di mesin pengeluaran wang (ATM),” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain pengeluaran dibuat melalui ATM, terdapat juga wang dikeluarkan menerusi perbankan internet.

“Kita serahkan kepada peguam kita, dan apabila peguam bertanya kepada pegawai penyiasat (IO), adakah dia pergi ke bank untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)? IO cakap tak pergi.

“Di setiap bank, lazimnya mereka akan letak banyak CCTV. Takkan pihak berkuasa tidak boleh dapatkan rekod CCTV ini,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman mendedahkan modus operandi sindiket keldai akaun membabitkan seorang mangsa yang mengadu diperdaya untuk membuka akaun bank oleh seorang ejen yang menawarkan pekerjaan bergaji lumayan, namun malangnya si mangsa dianggap sebagai suspek oleh pihak bank dan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN