KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyerlahkan semangat kemerdekaan dengan setia menunggu sehingga tamat semua acara dan memberi sokongan padu kepada semua kontinjen sewaktu lintas hormat di hadapan pentas tetamu kenamaan di Dataran Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022, hari ini.
Ia termasuk kontinjen diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghimpunkan petugas daripada pelbagai agensi yang bertanggungjawab menangani krisis Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Sewaktu lintas hormat berlangsung, kontinjen berkenaan melibatkan 84 anggota Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketuanya, Khairil Hilmi Mokhtar berkata, peluang yang diberikan untuk menyertai perarakan tersebut membuktikan penghargaan kerajaan dan rakyat kepada peranan serta pengorbanan barisan hadapan mendepani pandemik Covid-19.
“Walaupun kontinjen kecil sahaja, ia mewakili kelompok besar yang berjasa kepada negara. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana ini kali pertama dalam sejarah 65 tahun ini, kami ada satu kontinjen gabungan menggambarkan Keluarga Malaysia.
“Kami berterima kasih sebab sepanjang perjalanan tadi, orang ramai, pengunjung bersorak dan tepuk tangan. Kami dapat rasa bahawa kerajaan Keluarga Malaysia menghargai, rakyat pun menghargai. Perasaan itu orang kata, tiada tolok bandingnya,” katanya.

Dalam pada itu, turut menjadi keunikan pada Sambutan Hari Kebangsaan kali ini yang mana terselit kontinjen yang juga dianggap pejuang dalam menyediakan makanan dan minuman di wad hospital dipenuhi pesakit Covid-19 pada awal 2020.
Kontinjen berkenaan mengenakan pakaian tukang masak berwarna putih dan berseluar hitam lengkap topi tinggi atau toque yang turut berkawad bersama barisan wira negara.
Ketika lalu di hadapan Pentas Diraja, kontinjen cef turut menarik perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berdiri dan ceria sambil melambaikan tangan kepada kontinjen ini. – UTUSAN