KUALA TERENGGANU: Berita baik untuk kanak-kanak berusia 12 tahun yang lahir pada 31 Ogos 2010 di Terengganu dan bakal bayi yang lahir pada 31 Ogos depan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Kesemua kanak-kanak dan bayi bertuah itu akan menerima cenderahati serta sijil dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu sempena tarikh kelahiran mereka pada tarikh keramat sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Pengarah JPN Terengganu, Mohd. Nasir Kareem berkata, kesemua kanak-kanak itu akan diberi cenderahati tersebut sekiranya membuat kad pengenalan dewasa MyKad menggantikan MyKid sepanjang September di mana-mana cawangan JPN seluruh negeri.
“Ini sebagai inisiatif kita untuk meraikan mereka selain kempen untuk menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka ke JPN membuat MyKad seawal mungkin selepas genap berusia 12 tahun.
“Selain itu, kita juga berkolaborasi dengan HSNZ untuk memberi cenderahati untuk bayi istimewa yang bakal lahir pada 31 Ogos tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program mendaki Bukit Besar sempena Hari Kebangsaan 2022 di sini semalam.
Seramai 21 kakitangan JPN Terengganu dan 10 pengamal media menyertai program itu yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme cintakan negara.
Beliau menambah, JPN Terengganu memilih aktiviti pendakian kerana tugas kebanyakan kakitangan terutama di barisan depan jabatan itu tidak mempunyai aktiviti fizikal yang banyak di pejabat.
“Kita mahu semaikan gaya hidup aktif dalam kalangan pekerja dan pada masa sama berkhidmat dengan mengutip sampah yang ada di sepanjang laluan pendakian,” katanya. – UTUSAN