PADANG BESAR: Kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian dekat sini pada 2015 adalah isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.
Malah, lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur itu, dipercayai daripada etnik Rohingya. Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu.
Rentetan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kes berkenaan dan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi.
Laporan RCI berkenaan tragedi itu dikatakan telah siap bagaimanapun sehingga kini terus kekal menjadi tanda-tanya apabila belum pernah didedahkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Kajian Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, pembentangan atau pendedahan mengenai dapatan tragedi Wang Kelian perlu didedahkan kepada umum.
Menurut beliau, masyarakat ternanti-nanti keputusan RCI berkaitan isu penyeludupan manusia di Wang Kelian itu yang dilaporkan akan didedahkan kepada umum pada 2020.
“Laporan RCI ini seharusnya menjadi kayu pengukur untuk melihat bagaimana negara boleh menyelesaikan masalah berkaitan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lain-lain di negara ini.
“Difahamkan dapatan telah ada namun tidak ada sebarang keputusan tuntas untuk diambil tindakan mengenakan hukuman kepada pihak-pihak bertanggungjawab. Dilihat habis seperti itu sahaja dalam kes ini,” katanya.
Syor RCI
Pada Januari 2020, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan laporan akhir dan syor RCI mengenai kes di Wang Kelian itu siap sepenuhnya dan akan dibentangkan kepada Kabinet.
Menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, jika mendapat persetujuan Kabinet, laporan akhir tersebut akan didedahkan kepada umum. Difahamkan sehingga kini belum ada sebarang pendedahan mengenainya.
Mohd. Mizan berkata, laporan RCI secara telus adalah satu keperluan dan umum mengetahui bahawa ‘integriti’ adalah antara masalah utama yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.
“Di pihak Thailand, hukuman tegas hingga ke mahkamah telah dikenakan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi tersebut namun di Malaysia masih sepi.
“Apakah tidak berlaku ketirisan di pihak kita? Jika ada yang terlibat sama ada individu mahupun pihak berkuasa, maka seharusnya mereka dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran berguna buat semua,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga menyokong jika ada usaha membawa wartawan ke kawasan tragedi tersebut untuk membuat laporan semula selepas beberapa tahun kejadian itu berlaku.
Landasan
Katanya, Malaysia berada pada landasan yang betul jika tindakan drastik diambil untuk mencegah perkara itu daripada berlaku semula.
“Maka hasil dapatan RCI boleh dijadikan penanda aras untuk negara maju ke hadapan dalam mengawal kemasukkan PATI. Sistem dokumentasi dan pengawalan yang tepat juga diharapkan sebagai jalan penyelesaian tuntas untuk masalah ini.
“Selain itu, kerjasama erat dengan Thailand diperlukan bagi mengekang aktiviti pemerdagangan manusia berulang,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Wang Kelian mendapati, kawasan tersebut suram dan hanya sekadar menjadi tumpuan bagi laluan kenderaan perdagangan pada setiap hari.
Bagaimanapun, usaha memasuki lokasi penemuan kubur itu sukar kerana keadaan muka buminya yang berbukit dan hutan tebal.
Laluan utama di Wang Kelian juga dipantau rapi oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk oleh mana-mana sindiket yang cuba mengancam keselamatan negara.
Setiap kenderaan yang ingin menuju ke pintu sempadan di Wang Kelian-Wang Prachan juga perlu menempuh sekatan jalan raya dan pemeriksaan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) terlebih dahulu.
Kawalan ketat pintu masuk antarabangsa yang dilakukan di kawasan ini juga dilihat dilaksanakan secara holistik melibatkan beberapa agensi sempadan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.- UTUSAN










