Anti lompat parti: Negeri Sembilan sedia adakan sidang khas DUN - Utusan Malaysia

Anti lompat parti: Negeri Sembilan sedia adakan sidang khas DUN

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersedia untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan pelaksanaan perundangan berkaitan anti lompat parti di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan sidang khas tersebut bagaimanapun bergantung kepada tempoh proses untuk Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti diwartakan di peringkat Persekutuan.

“Kami telah diberikan taklimat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan mengenai pelaksanaan RUU Antilompat Parti. Kami semuanya bersetuju untuk bentangkan di DUN seberapa segera yang boleh.

“Selepas ia diwartakan barulah dibentangkan di peringkat DUN, jika cepat (diwartakan) cepatlah akan dibuat, kalau perlu buat sidang khas, kami akan buat.

“Kalau tidak, paling lewat semasa sidang DUN Belanjawan nanti. Ikut kesesuaian, kalau cepat di peringkat Persekutuan, kami akan buat sidang khas,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin dilaporkan berkata, kerajaan negeri bersedia meminda Undang-Undang Tubuh negeri itu bagi membolehkan larangan wakil-wakil rakyat melompat parti dikuatkuasakan.

Beliau bagaimanapun menambah, agenda pindaan itu tidak akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadual pada minggu hadapan sebaliknya pada sidang DUN Belanjawan Negeri Sembilan yang dijangka pada penghujung bulan Oktober nanti.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, Sidang DUN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 9 Ogos ini dijangka membincangkan mengenai kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya