Anggota JPJ didakwa terima rasuah lebih RM27,000 - Utusan Malaysia

Anggota JPJ didakwa terima rasuah lebih RM27,000

AHMAD Jamil Md. Saru didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima rasuah RM27,600 daripada sebuah syarikat sejak 2016 hingga 2019. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 antara 2016 hingga 2019.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Jamil Md. Saru, 40, mengakui tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Jamil yang bertugas di JPJ Cawangan Muar telah menerima rasuah berjumlah RM27,600 menerusi empat transaksi berbeza di Bank CIMB Cawangan Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019.

Tertuduh didakwa menerima sejumlah wang berkenaan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P. P. Vijayan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori milik syarikat berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih perlu menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah berusia 16 dan 10 tahun.

Mahkamah kemudian memutuskan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam JPJ juga diarahkan untuk mematuhi syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat.

Pada 5 Julai lalu, Ahmad Jamil didakwa terhadap 12 pertuduhan kerana menerima suapan bulanan sebanyak RM500 bagi melindungi syarikat sama, iaitu Sivan Sakthi Maju Enterprise sejak dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM8,500 daripada syarikat berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya