KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan politik dijangka dibentangkan pada akhir sidang Parlimen yang dijadual pada Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu mungkin dibawa ke Parlimen selepas Belanjawan 2023 yang juga dibentang pada sidang sama.
“Kalau sempat dibentangkan, kemungkinan ia akan berlaku pada lewat persidangan pada sesi hadapan.
“Kita belum mempunyai garis masa yang tetap berkaitan pembentangan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, pihaknya akan memaklumkan perkara itu selepas jadual rasmi persidangan tersebut diputuskan.
Pada Julai lalu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia telah menghantar cadangan RUU berkenaan melalui Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, antara cadangan RUU tersebut ialah peruntukan dana awam RM130 juta setahun untuk semua parti politik yang berkelayakan.
Mengikut RUU tersebut, sebanyak RM120 juta diperuntukkan kepada parti politik mengikut jumlah perolehan undi masing-masing manakala pengagihan baki RM10 juta berdasarkan bilangan wakil rakyat parti politik yang berkelayakan. – UTUSAN










