PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Toh Puan Zurina Kassim yang kembali ke Rahmatullah hari ini.
Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka turut berkenan menzahirkan ucapan takziah secara peribadi menerusi panggilan telefon dari Ankara, Turkiye kepada bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakub sejurus selepas mendapat perkhabaran duka itu pagi ini.
“Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” kata Istana Negara dalam kenyataan hari ini.
Allahyarham Toh Puan Zurina yang merupakan isteri kepada Tun Mohd Khalil menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.10 pagi tadi di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Beliau dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka dan mendirikan rumah tangga dengan Tun Mohd Khalil ketika berusia 21 tahun pada 28 Februari 1965 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata. – UTUSAN