ADUN Titi Serong tular sergah peniaga jual tambah nilai judi dalam talian

ADUN Titi Serong tular sergah peniaga jual tambah nilai judi dalam talian

TANGKAP layar rakaman video tindakan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim  'menyergah' peniaga yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual tambah nilai perjudian dalam talian di Parit Buntar, Perak, semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim bertekad ‘menyergah’ peniaga yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual tambah nilai untuk perjudian dan  nombor ekor haram di kawasannya semalam.

Hasnul Zulkarnain yang merupakan ADUN Bebas berbuat demikian di dua buah premis perniagaan iaitu di Bagan Tiang dan pekan Titi Serong sambil tindakannya itu dirakamkan sehingga tular dalam media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau mengakui bertekad berbuat demikian selepas menerima banyak aduan daripada penduduk di kawasannya terhadap aktiviti sedemikian yang semakin berleluasa.

Katanya, penduduk mengadu aktiviti itu menjadi tumpuan anak-anak mereka sehingga banyak wang dihabiskan membeli tambah nilai untuk judi dalam talian yang dijual di premis-premis tersebut.

“Sebenarnya saya tak ada rancangan pun untuk buat terjah sebegitu sahaja ke atas premis-premis ini. Tindakan saya secara spontan setelah penduduk kampung membuat aduan termasuk ketika saya menghadiri tiga buah majlis kenduri di sini semalam.

“Penduduk kampung jumpa saya pada majlis tersebut dan merayu supaya membantu mereka untuk segera bertindak menyelesaikan isu tersebut yang dilihat semakin berleluasa. Penduduk mengatakan ramai anak-anak orang kampung habis duit membeli tambah nilai perjudian yang dijual di premis-premis itu.

“Apabila saya tanya orang kampung di mana premis tersebut, mereka menunjukkan lokasinya dan secara spontan saya mengambil tindakan sendiri dengan bertemu sendiri dengan peniaga yang sedang menjalankan perniagaan di situ,” katanya.

Menurutnya, tindakannya itu antara cara untuk membanteras kegiatan itu yang semakin berleluasa dan dipercayai berlaku di kawasan lain.

“Saya mengambil berat tentang apa yang berlaku di kawasan DUN Titi Serong.  Dengan tularnya video ini, saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak tegas dan berterusan dalam menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu, rakaman video yang tular dalam media sosial, Hasnul Zulkarnain bersendirian pergi ke sebuah premis dipercayai menjual tambah nilai untuk perjudian dan kedai ekor haram secara dalam talian yang berselindung menjual tambah nilai telefon.

Dalam rakaman itu, beliau bertemu dengan peniaga di situ sambil mempertikaikan premis jualan itu yang menjalankan perniagaan di tepi sungai. Beliau turut memberi amaran dan meminta perniagaan itu ditutup. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN