402 peneroka Felda Bukit Goh tunggu bauksit - Utusan Malaysia

402 peneroka Felda Bukit Goh tunggu bauksit

LOKASI ladang kelapa sawit terjejas akibat perlombongan bauksit yang dimohon dilonggarkan status sekatan GSA bagi membolehkan projek Lembah Solar dibangunkan di Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hampir tujuh tahun 402 peneroka di Felda Bukit Goh di sini menunggu aktiviti perlombongan bauksit yang dihentikan sejak 2016 dimulakan kembali, namun ia hampa umpama menunggu bulan jatuh ke riba.

Daripada jumlah itu, 235 orang terlibat perlombongan bauksit membabitkan 194 di tanah rancangan Felda Bukit Goh dan 41 Felda Bukit Kuantan.

Bakinya, 167 peneroka tidak terlibat bauksit namun ‘dinafikan’ hak tanam semula oleh Felda kerana ladang sawit mereka dikatakan berhampiran atau bersebelahan lokasi perlombongan bahan mineral tersebut.

Selama tempoh tujuh tahun itu, peneroka terlibat hilang punca pendapatan termasuk 167 peneroka tidak terlibat tanam semula kerana kekurangan hasil ekoran pokok sawit telah ‘lanjut’ usia melebihi 25 tahun.

Peneroka terlibat merayu kerajaan khususnya Felda membantu seperti melonggarkan sekatan tanah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 bagi membolehkan tanah ladang dilaksanakan projek pembangunan supaya tidak lagi membebankan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka Felda Bukit Goh, Ishak Arof, 70, berkata, walaupun tidak terlibat bauksit, ladang sawitnya dinafikan hak tanam semula oleh Felda kerana bersebelahan kawasan terlibat perlombongan bahan mineral itu.

“Pokok sawit di ladang saya telah ‘tamat tempoh’ melebihi 25 tahun, tinggi 13 meter ke 15 meter. Hasil pun kurang sebab pokok telah tua.

“Setiap bulan, hasil sawit hanya dua ke tiga tan sahaja sebulan, jika tiada hasil dapatlah 20 ke 30 tandan sahaja. Inilah nasib saya sejak tujuh tahun lalu sehingga kini.

“Hendak tanam semula sendiri saya tidak mampu, kosnya bukan murah lebih RM100,000, kawasan ladang pun berpasir, jadi bukan mudah untuk buat sendiri, tambahan lagi saya sudah tua, kudrat pun sudah tidak banyak,” katanya di sini semalam.

Ishak berkata, dia kini sudah putus harapan kerana tujuh tahun menunggu perkembangan aktiviti perlombongan bahan mineral itu termasuk tanam semula sawit.

“Jika ada usaha untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah ladang sawit di Felda ini saya setuju, apa sahaja yang kerajaan hendak buat, buatlah, cuma jangan ambil tanah saya sudah,” katanya.

Seorang penerokawati Felda Bukit Goh, Zaitun Sani, 69, pula berkata, kawasan ladang sawitnya kini terbiar selama tujuh tahun setelah habis dikorek oleh pengusaha bauksit.

Selama tempoh itu katanya, dia hilang punca pendapatan dan terpaksa melakukan kerja kecil-kecilan seperti menjual sayur-sayur kampung.

“Masa bauksit dulu, saya hanya dapat RM200,000 sahaja, adalah sikit-sikit lagi simpanan tetapi tidak tahulah berapa lama lagi mampu bertahan.

“Bantulah kami peneroka, memang salah kami dulu buat bauksit sebab kami gelap mata, tapi janganlah biarkan kami terus terabai begini saja tiada punca pendapatan,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, projek lembah solar terbesar di Asia Tenggara sedang dirancang dalam memastikan 402 peneroka yang terjejas akibat perlombongan bauksit mampu menjana pendapatan minimum RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, program itu dirancang dibangunkan di kawasan terlibat dan terjejas bauksit memandangkan tanah di lokasi terbabit sudah tidak lagi sesuai untuk pertanian.

“Jika ditanam semula sekali pun pastinya memerlukan modal tinggi bagi merawat tanah tersebut yang belum tentu menjanjikan kejayaan, jadi pembangunan segera perlu dilakukan mengambil kira masa depan peneroka terbabit.

“Kita mohon dan rayu kepada Felda supaya memberikan keistimewaan melonggarkan status sekatan tanah GSA atau memberi kebenaran projek pembangunan dilaksanakan di kawasan terlibat dan terjejas akibat bauksit di sini,” katanya.

Jefri yang juga generasi kedua Felda Bukit Goh berkata, Lembah Solar Bukit Goh merupakan antara projek solar terbesar negara melibatkan kerjasama antara G2G dan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu.

Katanya, projek jangka masa panjang ini melibatkan pembangunan lembah solar 300 megawatt di tanah seluas kira-kira 1,618 hektar melibatkan pelaburan besar yang dijangka mencecah bilion ringgit.

“Memorandum Persefahaman Perancangan Projek Pembangunan Solar Farm Felda Bukit Goh telah ditandatangani antara G2G dengan Loyalty Holdings Sdn. Bhd. dan proses seterusnya giat dilakukan bagi merealisasikan projek ini.

“Ia sudah tentu akan memberikan manfaat kepada peneroka yang akan mendapat pendapatan berterusan tetapi dalam masa sama tanah masih terus dimiliki oleh peneroka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya