2,800 kawasan pedalaman sukar diakses bomba

2,800 kawasan pedalaman sukar diakses bomba

M.AZMAN Taib (tengah) bersama Mohammad Hamdan Wahid (kiri) melakukan simbolik perasmian ‘Fire Point’ Bomba di Kampung Terian, Penampang pada Sabtu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus komited memperkasa Bomba Komuniti di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat setempat bertindak sebagai ‘first responder’.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, apabila berlaku kecemasan, Bomba Komuniti yang telah dilatih akan memberi bantuan kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba ke lokasi kejadian.

Sebelum ini, pihaknya sudah mengenal pasti 2,800 kawasan yang dianggap sebagai ‘blind spot’ kerana perkhidmatan bomba sukar untuk sampai ke lokasi yang agak terpencil dan jauh di pedalaman.

Beliau berkata, JBPM akan terus memperkasa dan mendayakan komuniti agar mereka boleh menjadi penyelamat setiap kali berlaku kecemasan.

Katanya, bomba bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut melaksanakan program rentas kementerian dan agensi dalam usaha mewujudkan Bomba Komuniti.

Ia termasuk kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Melalui kerjasama itu, Bomba Komuniti akan diwujudkan di semua 8,000 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M.Azman Taib berkata, program Khidmat Bakti Bomba yang diadakan di Kampung Terian, Penampang itu sebahagian daripada usaha memberi pendedahan kepada komuniti tentang kaedah menyelamat semasa berlaku kecemasan.

“Kita mahu menurunkan fungsi bomba ke peringkat komuniti kerana komuniti adalah orang pertama yang akan menyelamat sekiranya berlaku kecemasan atau bencana.

“Di Sabah, kita tahu ada banyak tempat sebegini maka, mungkin boleh diperluaskan dengan adanya sokongan kerajaan negeri dan syarikat swasta,” katanya.

Antara aktiviti yang dilakukan melalui program khidmat bakti itu adalah membaik pulih rumah anak angkat bomba iaitu Ayon Manson yang disiapkan dalam tempoh sebulan, membaik pulih pondok rehat atau ‘Fire point’ bomba serta melakukan kerja-kerja pembaikan jalan dengan menabur batu-batu sungai.

Turut dilakukan adalah kerja-kerja membaik pulih astaka dan bilik air sekolah di Sekolah Kebangsaan Terian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya