2 pemandu lori ditahan, lebih 17,000 liter diesel subsidi dirampas - Utusan Malaysia

2 pemandu lori ditahan, lebih 17,000 liter diesel subsidi dirampas

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa minyak diesel bersubsidi yang dirampas daripada sebuah lori dalam satu serbuan di stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Dua pemandu lori warga tempatan ditahan bersama kira-kira 17,200 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan empat pegawai penguat kuasa pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang susulan risikan serta maklumat awam yang diterima.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, A. Mogan berkata, seorang daripada pemandu lori itu yang membawa lori tangki mengisi sebanyak 16,000 liter minyak diesel manakala seorang pemandu lagi yang membawa lori jenis ‘bonded‘ dikesan mengisi 1,200 liter minyak yang sama ke dalam lorinya ketika diserbu.

Katanya, siasatan mendapati  lori tangki berjenama Hino itu mempunyai tangki berkapasiti 17,000 liter manakala lori ‘bonded‘ seberat tujuh tan berjenama Nissan itu pula mempunyai enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang diubah suai di dalam lori berkenaan.

“Secara keseluruhannya, anggaran nilai rampasan ke atas barang sitaan adalah RM148,800 dan jumlah ini termasuk dua lori tersebut berserta enam unit tangki fiber, satu unit mesin pam motor dan dua unit hos paip,” katanya di sini hari ini.

Mogan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk individu.

Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi mereka yang didapati bersalah.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama boleh dikenakan selain denda sebanyak RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Dalam hal ini, kita ingin mengingatkan sesiapa sahaja yang menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas dan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi akta dan peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama dan sebarang maklumat serta aduan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi amat dialu-alukan dalam usaha mengelakkan berlakunya ketirisan bekalan dalam negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya